Friday, October 16, 2009

Novel Grafik Kartun: Kartunis Rejabhad




Baru-baru ini saya terbaca sebuah artikal sahabat saya Prof Dr. Muliyadi Mahmood dalam majalah PEMIKIR keluaran Oktober-Disember 2009 bil 58. Artikal beliau bertajuk "Pemikiran Rejabhad dalam seni Kartun (Politik Semasa)". Menarik penulisan beliau. Izinkan saya petik penulisan beliau terhadap Novel Grafik bertajuk Peristiwa Mat Gila:...

"Kisah-kisah dalam Peristiwa Mat Gila diolah oleh Rejabhad secara kreatif dengan mengabungkan pelbagai sumber rujukan dalam kehidupan dan kesenian masyarakat tradisional dan kontemporari. Misalnya, kisah Mat Gila bertemu dengan orang tua di Pulau Hantu yang boleh mencipta pakaian bersayap daripada bulu burung yang membolehkan Mat gila terbang masuk ke istana larangan bertemu puteri raja. setelah menjadi menantu raja,Mat gila banyak menyelasaikan masalah yang timbul, termasukkan menentang serangan nyamuk dan raja dari negeri lain....."

Dalam rumusan Prof Dr Muliyadi menyatakan, menghayati karya-karya Rejabhad daripada pelbagai sudut pandangan bagaikan menonton teater, filem dan bangsawan. Di samping kekuatan teks yang kemelayuan, lukisan Rejabhad dihasilkan dengan teliti, terperinci dan penuh aksi......

Sebenarnya dunia kartun adalah dunia saya juga, saya juga pernah aktif melukis kartun sekitar 1970-an dan 80-an dengan nama samaran 'tuti' dan 'Tok Perak', pada masa itu dunia kartun Melayu melonjak naik dengan persaingan majalah 'GILA-GILA' dan 'gelihati'. Ketika itu saya adalah pelukis kartun bersiri dalam majalah gelihati.

Semasa saya aktif melukis kartun saya juga kerap berjumpa dengan Pak Jab (Rejabhad) dan pernah beliau panggil kerumahnya berbincang persoalan kartun. Pada masa itu saya juga pernah melobi beliau untuk menghantar karya ke GILA-GILA tetapi beliau berkata kepada saya, "Kalau seorang pelakon tu dah berlakon di Show Brother, tak bolehlah masuk ke 'Cathay Kris', saya faham maksudnya. Pengalaman saya bersama Pak Jab; Saya sangat tertarik perjuangan beliau membimbing anak muda yang berminat melukis kartun, di samping beliau juga suka membuat ceramah dan bengkel kartun. Pada tahun 1990, semasa saya menuntut di USM beliau mencadangkan saya membuat sebuah bengkel kartun untuk peminat dan pelukis kartun Utara ( Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak). Saya menyahut cadangannya dan membuat bengkel tersebut. Sambutan sungguh hangat lebih kurang 200 peserta yang menyertainya. Tidak mustahillah beliau dipanggil 'Penghulu Kartun', lihat dalam wikipedia:

" Rejabhad, or his real name Rejab bin Had is a Malaysian cartoonist known as a legend cartoonist through Malaysian comic industry. He is known as King of Malaysian Cartoons (Raja Kartun Malaysia) or Malaysian Comic Headman (Penghulu Komik Malaysia) because of his huge contribution towards Malaysian comic industry. Sometimes, many people may call him Pak Jab"

Beliau berhati-hati menggunakan prinsip asas dalam berkarya kerana menurutnya dikhuatiri akan risikonya jika tidak ditangani dengan baik. Rejabhad melakarkan ideanya dengan bijak dan dalam masa yang sama berpegang pada falsafahnya – jangan sekali-kali mengkritik isu-isu yang sensitif

Beberapa karya novel grafik kartun yang diterbilkan oleh beliau ialah:

Periwara Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng, Masterpiece: Periwara Mat Gila dan Tan Tin Tun, Amal (anak Periwara Mat Gila)

Siri Novel Grafik Amal adalah karya terakhir beliau sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 14 November 2002.

Tuesday, October 6, 2009

LAGI KONSEP NUSANTARA....

Saya mengambil petikan untuk renungan kita bersama daripada Kolumis Utusan Melayu 'Cuit" oleh Zaini Hassan
Tajuk: Pecah dan perintah II: Hubungan Malaysia-Indonesia

MINGGU lepas saya membincangkan satu teori mengenai strategi pecah dan perintah atau pecah dan tawan yang mungkin sedang berlaku secara sedar atau di bawah sedar dalam sistem politik tanah air sekarang.

Orang Melayu berpecah dan membenci antara satu sama lain - serta membenci kaum-kaum lain yang berada di negara ini. Kesimpulan saya ialah, jika ini terus berlaku orang Melayu akhirnya akan diketepikan, tidak dipedulikan dan terpaksa melukut di tepi gantang. (Ikuti di www.utusan.com.my bagi membaca Cuit bertajuk Strategi pecah, perintah dan tawan pembangkang?)

Strategi ini juga boleh dilakukan ke atas negara-negara dan antara-negara. Ia adalah satu strategi yang dilakukan oleh pihak penjajah dan kolonial beratus-ratus tahun lalu - termasuklah ke atas Tanah Melayu oleh British, oleh Sepanyol dan Amerika ke atas Filipina dan gugusan kepulauan Sulu, Israel dan Amerika di kalangan negara Arab, Pakistan dan banyak lagi.

Antara strategi yang dilakukan ialah mempengaruhi pihak pemerintah yang mempunyai sekutu lain supaya menyebelahinya. Ia harus dilakukan secara terus terang, halus atau kasar. Jika cara terus terang tidak boleh dilakukan, atau sukar, atau mustahil - maka strategi lain akan dilakukan.

Strategi itu ialah melalui pegawai-pegawainya; dan jika itu pun tidak boleh dilaksanakan ia akan terus kepada rakyat. Di zaman sekarang, NGO atau juga disebut sebagai pertubuhan bukan kerajaan ialah organisasi yang paling efektif yang boleh dipengaruhi bagi melaksanakan strategi pecah dan perintah ini.

Apakah hubungan dingin antara rakyat Indonesia ke atas Malaysia sekarang ada kaitan dengan ini semua?

Kita kaji susur galur kedua-dua negara itu dulu.

Hubungan Malaysia-Indonesia ialah hubungan tradisi. Ia telah berlangsung sejak zaman Sriwijaya pada abad ke-7. Sejarah Melayu mengisahkan asal usul raja-raja Melayu, yang dirujukkan kepada Kesultanan Melaka yang mewarisi Kerajaan Sriwijaya, ia mengisahkan betapa permulaan sistem raja-raja Melayu adalah di Bukit Siguntang di Sumatera, atau disebut juga sebagai Seri Andalas.

Sejak itu hubungan rakyat dengan rakyat telah terjalin. Orang Malaysia dan Indonesia menyifatkan hubungan mereka sebagai hubungan serumpun. Serumpun bermakna serupa, sama atau dalam ikatan yang satu.

Orang Melayu telah berasimilasi sejak zaman-berzaman dengan keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Boyan (Bawean), Mendaling, Banjar, Minang yang menyeberang ke Tanah Melayu. Mereka hidup sebagai satu bangsa yang kemudiannya diiktiraf sebagai bangsa Melayu Malaysia atau bumiputera. Uniknya, keturunan akar Indonesia ini masih mengamalkan loghat bahasa asal sesama mereka. Koloni etnik keturunan Indonesia ini banyak tertumpu di Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

Mereka ini kemudiannya menjadi tokoh-tokoh terpenting Malaysia dari segi ekonomi, sosial dan politik. Malah banyak juga keturunan kesultanan di Malaysia berasal susur galurnya dari tanah seberang.

Orang Malaysia dan Indonesia menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca bahasa pertuturan mereka. Bahasa itu dituturi oleh lebih 300 juta orang di rantau Nusantara ini.

Kedua-dua rakyat Malaysia-Indonesia mengamalkan agama yang sama iaitu Islam dan kebudayaannya juga hampir sama.

Pada sekitar 1980-an sehingga kini, berlaku penghijrahan beramai-ramai rakyat Indonesia ke negara ini. Ia adalah satu eksodus ekonomi yang belum pernah berlaku - apabila mereka memasuki ke negara ini secara sah atau pun tidak bagi membantu membangunkan negara ini. Orang Indonesia terkenal dengan kerja lasak mereka. Orang Indonesia digunakan untuk kerja-kerja pembinaan. Banyak bangunan besar yang berdiri hasil kemakmuran Malaysia, dilakukan oleh buruh-buruh kontrak Indonesia.

Pendek kata, hubungan dua-hala Malaysia-Indonesia tiada masalah.

Kuasa-kuasa asing melihat bahawa Malaysia-Indonesia ialah satu kuasa serumpun yang kuat. Kuasa itu boleh dilihat dalam pelbagai bentuk sama ada kuasa ketenteraan, kuasa manusia, kuasa ekonomi malah kuasa pendidikan dan budaya.

Kedua-dua negara ini mempunyai kuasa, jika mereka bersekutu.

Pada sekitar 1980-an Malaysia dan Indonesia mempunyai dua tokoh yang terlalu kuat kuasa mereka. Malah negara-negara lain di kalangan ASEAN amat menghormati kedua-dua kuasa ini.

Kedua-dua kuasa ini iaitu Dr. Mahathir-Suharto diiktiraf sebagai pengimbang kepada rantau ini.

Namun, ada pihak yang tidak senang dengan perkembangan itu. Kuasa asing melihat kedua-dua tokoh ini adalah ancaman kepada mereka atau sekutu mereka atau individu yang mahu diangkat oleh mereka. Dr. Mahathir dilihat sebagai tokoh yang amat lantang menentang Barat.

Barat amat berharap Mahathir dapat dijatuhkan, secara dalaman atau luaran, melalui tekanan-tekanan tertentu. Masanya amat bertepatan sekali apabila berlaku krisis politik Mahathir-Anwar yang memperlihatkan Anwar mendapat sokongan Barat yang terlalu kuat.

Sebagaimana yang semuanya sudah tercatat dalam sejarah, laungan reformasi telah ditiupkan oleh 'unsur-unsur' tertentu ke dalam Indonesia dan kemudiannya dibawa ke Malaysia.

NGO-NGO telah diwujudkan dan dibiayai. Ia dibiayai melalui pelbagai cara oleh pihak luar. NGO-NGO ini kemudiannya bergerak aktif membawa mesej antikerajaan dan anti-Mahathir di Malaysia dan anti-Suharto di Indonesia. Media alternatif menerusi Internet dilancarkan bagi mengasak.

Akhirnya Dr. Mahathir jatuh, begitu jugalah Suharto. Sehingga ke hari ini banyak NGO masih mendapat pembiayaan daripada pihak-pihak tertentu secara langsung dan tidak. Di Indonesia, banyak NGOnya yang mendapat bantuan kewangan daripada pihak-pihak luar. Tidak perlulah disebut siapa dan negara mana yang membiayai, tapi banyak yang dibiayai. Ada antaranya NGO keagamaan, NGO yang memperjuangkan kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan sebagainya.

Dana-dana ini disalurkan atas alasan bagi membiayai latihan dan operasi organisasi itu.

NGO ini boleh dimanupulasi untuk kepentingan pembiayanya. Siapakah pembiaya ini? Tidak perlulah disebut di sini, namun pembiaya ini juga boleh masuk ke dalam sesebuah organisasi korporat melalui pembelian saham. Media-media dan beberapa stesen televisyen di Indonesia dikatakan sering melancarkan serangan ke atas Malaysia dalam isu-isu yang terlalu remeh-temeh. Apakah media mereka juga sudah dikuasai?

Isu tarian Pendet Bali dibesar-besarkan oleh media Indonesia dan NGO-NGOnya sehingga membangkitkan kemarahan rakyatnya. Blog-blog yang tidak tahu siapa miliknya melancarkan serangan 'ganyang' ke atas Malaysia.

Sunday, October 4, 2009

Konsep Nusantara? Antara Indonesia dan Malaysia


Pada 2 dan 3 Oktober saya menghadiri Seminar Internasional Khazanah Seni Rupa Nusantara sebagai pembentang di Universitas Pendidikan Ganesha, Singaraja, Bali Indonesia. Sebanyak 19 kertas kerja (Istilah di Indonesia ialah Makalah) dibincangkan. Seminar ini sungguh menarik, kerana banyak membincangkan persoalan seni visual (Seni rupa) dalam konteks dunia nusantara. Namun dalam masa yang sama saya terfikir dalam kotak fikiran saya mengenai Nusantara dalam konteks pengertian Malaysia dan Indonesia.

Saya tertarik dengan perbentangan Prof. Dr. Tjetjep Rohendi Ronidi pensyarah UPSI, menerangkan terdapat perbezaan konsep nusantara Malaysia dan Indonesia. Menurutnya konsep Nusantara di Malaysia ialah merujuk kepada lingkungan pengaruh kebudayaaan dan linguistik orang Melayu yang merangkumi kepulauan Indonesian, Malaysia, Singapura, bahagian selatan Thailan, Filifina, Brunei dan mungkin Timor-Timor. Pada umumnya ialah Alam Melayu. Sebaliknya konsep nusantara bagi Indonesia ialah sebagai sebuahn konsep kewilayahan (budaaya, politik, sosial dan kesenian) yang sering dikaitkan dengan kejayaan dan pengaruh politik kerajaan besar di masa lalu seperti kerajaan Sriwijaya dan Majapahit. Oleh yang demikian ruang lingkup nusantara antara Indonesia dan Malaysia adalah dalam lingkungan yang sama. Sama satu rumpun yang mempunyai budaya yang sama pada umumnya. Masalahnya ialah pecahan politik yang menyebabkan terdapat perbezaan.

Persoalan yang ingin saya bangkitkan ialah masalah seni dan budaya antara Malaysia dan Indonesia sering dipertikaikan oleh Indonesia. seolah-olah Malaysia sering 'meniru' atau menciplak kesenian dan kebudayaan Indonesia. Media-media Indonesia sering menghangatkan keadaan dengan menyiarkan dan membuat komentar isu-isu yang berkaitan seni yang agak sama amalkan oleh negara Malaysia. Antara lain yang menjadi hangat ialah media Indonesia membesar-besarkan seolah-olah suatu kemenangan berikutan keputusan UNESCO mengistiharkan pembuatan batik sebagai warisan Indonesia. Media Indoesia mengaitkan bahawa Malaysia Meniru Indonesia dalam industri batik? persoalannya Malaysia pun tidak menyatakan batik itu adalah hak Malaysia... Malaysia lebih bersetuju bahawa batik adalah kesenian Nusantara atau seni rumpun orang Melayu.

Banyak lagi perkara-perkara berkaitan serumpun dipertikaikan oleh Indonesia terhadap Malaysia seperti lagu Terang bulan yang dikatakan adalah lagu asal Negaraku. Semenjak kesilapan yang tidak disegajakan Malaysia menggunakan tarian pendet, media-media Indonesia terus bermain sentimen membenci Malaysia.

Seperti kata Prof. Dr. Tjetjep, kebanyakan orang di Malaysia adalah warisan dari bangsa-bangsa yang terdapat di Indonesia juga ada jawa, banjar, minang dan lain-lain. Tentu sekali mereka akan membawa budaya yang ada itu dan digunakan.

Tuesday, September 29, 2009

SEMINAR INTERNASIONAL KHASANAH SENI RUPA NUSANTARA


Saya berkesempatan untuk membentangkan kertas kerja di Seminar Internasional Khazanah Seni Rupa Nuasntara yang akan berlangsung pada 2- 3 Oktober 2009 di Universitas Pendidikan Ganesha (Undiksha), Singaraja, Bali, Indonesia. Esok saya kan bertolak dari KLCC ke Bali.

Di seminar tersebut saya akan bentangkan kertas kerja bertajuk, 'Pengaruh Catan Indonesia Dalam Pengkaryaan Catan Pelukis-Pelukis Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS)'. Tajuk ini adalah diambil dari kajian saya bertajuk Peranan dan Sumbangan Angkatan Pelukis SeMalaysia. Dalam sub topik tersebut saya telah membuat kajian bahawa terdapatnya pengaruh yang cukup kuat catan dari Indonesia sejak sekita 1940-an.


Dalam kerangka sejarah perkembangan seni lukis Malaysia, catatan-catatan sejarah banyak memaparkan pengaruh seni lukis Malaysia datang dari Barat dan Cina. Paling ketara dalam catatan sejarah ialah pengaruh kuat dari Inggeris hingga tertubuhnya pertubuhan yang bernama Penang Impresionis sekitar tahun1920-an. Kemudian kedatangan imgeran dari tanah besar Cina dari lembah Xu Beihong membawa pengaruh lukisan cat air Cina. Pada tahun 1920-an seorang Pelukis Cina bernama Yong Mun Sen datang ke Malaya (Malaysia).
Pengaruh dari Barat dan Cina sangat kuat hinggalah tertubuhnya pertubuhan seni lukis seperti 'Penang Art Teacher’s Caouncil’, Wednesday Art Group’,‘Thursday Art Group’ dan banyak kumpulan seni lukis ditubuhkan. Kebanyakan dalam pengaruh dari Inggeris dan Cina.

Pada tahun 1958, apabila Angkatan Pelukis Semenanjong (APS) ditubuhkan, pengaruh Pelukis Mohamad Hossein Enas yang berasal dari Bogor Indonesia telah membawa pengaruh kuat dalam APS. Pengaruh gaya catan Indonesia terus diterima dalam warga pelukis Melayu hinggakan menjadi satu indentiti dalam pertubuhan itu. beberapa perkara yang menyebabkan pengaruh ini diterima adalah kerana:
1. Sebelum kedatangan Mohammed Hoessein Enas, pelukis-pelukis Melayu tidak mempunyai indentiti, kebanyakkan melukis pemandangan dan dipengaruhi catan cat air Yong Mon Sen.
2. Penonjolan pelukis Melayu sangat berkurangan, kerana pengaruh catan dari kumpulan-kumpulan dari Cina dan Inggeris sangat dominan pada ketika itu.
3. Gaya pelukisan Mohammed Hoessein Enas melukis potret dan figuratif memberi paradigma baru kepada pelukis Melayu, kerana sebelumnya pelukis-pelukis Melayu tidak berani melukis potret dan figuratif atas alasan keagamaan.

Banyak lagi saya bincangkan dalam kertas seminar tersebut, bangaimana pengaruh catan Indonesia sangat berpengaruh dalam APS hinggakan apabila pameran APS dapat diterima oleh pencinta dan pengumpul catan di Malaysia.

Friday, September 18, 2009

Ramadhan akan pergi... Syawal mendatang,,



Ramadhan berakhir...

Ramadhan akan pergi
meninggalkan aku yang sepi
belum sempat mendakap-Mu sepenuh hati
sekadar senyuman dan rasa sedeguk air suci

Ramadhan akan pergi
benarkah aku mendapat khabar Mu
awal Mu,, pertengahan Mu... Akhir Mu,,,
adakah diampuni segala dosa...

Ramadhan terus pergi
Adakah dapat aku berjumpa lagi
Untuk aku sepenuhnya mendakap
dengan penuh Istikhomah......

Hassan Mohd Ghazali
28 Ramadhan 1430 H

Wednesday, September 16, 2009

ROMBAKAN FAKULTI SENI ....Catatan Luahan Rasa hati


Mengapa perlunya Fakulti Seni dan Muzik dipisahkan? Apa signifikan bidang Seni digabungkan dengan bidang Perkomputeran? Apakah seni visual dengan muzik tidak sesuai disamakan ? Mengapa perlunya perubahan untuk menandakan UPSI baru?

Perubahan UPSI baru memberi kesan secara langsung Fakulti Seni dan Muzik yang sekian lama bertapak kukuh di perkampungan UPSI Tg. Malim. Fakulti ini beberapa kali bertukar nama fakulti Sains Sosial dan Kesenian. Fakulti Sains Sosial dan sekarang Fakulti Seni dan Muzik. Kini sekali lagi akan diubah namanya... tetapi 'nyah'kan seni dari fakulti sedia ada dan digabungkan dengan fakulti teknologi maklumat dengan cadangan nama baru Fakulti Perkomputeran dan Industri kreatif?..... Perkataan Seni dihilangkan!!!!

Sejak awal penubuhan UPSI dinaiktaraf dari sebuah Maktab Perguruan tersohor dengan panggilan SITC, MPSI dan IPSI, Seni Visual mendapat tempat yang utama dalam barisan Fakulti-fakulti di UPSI dan bidang Pendidikan Seni Visual merupakan bidang yang memainkan peranan penting sejak dari penubuhan UPSI.

Mengapa saya rasa sensitif terhadap isu yang berlaku terkini?. Izinkan saya bercerita sedikit latar belakang rentetan sejarah diri saya dalam senario Ibu Kandung Suluh Budiman. Saya adalah bekas penuntut MPSI tahun 1980-81 dan sepuluh tahun kemudian 1991 saya berkhidmat sebagai pensyarah di IPSI hingga penubuhan UPSI 1997 dan hingga kini saya sebagai pensyarah di UPSI. Sebenarnya saya di MPSI, IPSI dan UPSI bukan sekadar menjadi pelajar dan pengajar malah penglibatan saya dengan Ibu kandung lebih dari itu. Masa pelajar saya aktif dalam persatuan pelajar sebagai Setiausaha Persatuan Guru Pelatih dan aktif dalam teater sebagai pengerusi... pernah menjulang Johan teater seluruh maktab Malaysia dan Johan teater Negeri Perak dan anugerah pengarah terbaik.. nama MPSI bergegar sebagai mengukuhkan tradisi Teater di Malaysia. sebelum tamat pengajian saya dianugerahkan sebagai anugerah pelajar berbakat MPSI 1981. Semasa menjawat jawatan pensyarah dimaktab saya sentiasa memainkan peranan dalam usaha meningkatkan status IPSI, saya telah menghidupkan semula terbitan majalah 'Cenderamata' merupakan majalah tradisi SITC. Diperingkat Jabatan menerbitkan Jurnal Sains Sosial. Berusaha memperkenalkan jubah konvokesyen IPSI (sebelumnya tiada memakai jubah)... Usaha saya mendapatkan jubah tanpa mengeluarkan modal oleh pehak pentadbiran IPSI. Dan paling penting saya terlibat sebagai jawatan kuasa penyediaan kertas konsep penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Semasa di IPSI dua kali dianugerahkan perkhidmatan cemerlang!. Saya juga aktif dalam persatuan bekas pelajar iaitu Persatuan Suluh Budiman(PSB). Pada masa itu Presiden PSB ialah Tan Sri Awang Had Saleh. Dalam Persatuan juga kami sama-sama sibuk mendesak menaikkan taraf maktab IPSI kepada Universiti... beberapa kali membuat desakan kepada Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri.

Masih teringat pada masa mesyuarat pembinaan kertas konsep penubuhan UPSI. Mesyuarat itu berlaku di Merlin Hotel Frasel Hill. Kami bermesyuarat selama 5 hari dipengerusikan oleh Dr Rahim Selamat (bekas pengetua IPSI). Dalam mesyuarat itu pun ada panel mencadangkan Pendidikan seni tidak perlu dimasukkan dalam program UPSI atas alasan subjek itu bukan subjek teras... Saya telah membantah dengan alasan Tan Seri Awang Had Saleh mahukan mata pelajar Pendidikan Seni dan Muzik dimasukkan dalam rangka kursus kerana bidang tersebut adalah matapelajar semenjak SITC lagi. Alasan ini dipersetujui oleh pengerusi Dr. Rahim Selamat... akhirnya Pendidikan Seni terus tersenarai dalam kertas kerja tersebut. Mungkin pada masa itu Dr. Rahim Selamat tahu saya rapat dengan Tan Seri Awang Had Salleh dalam PSB.

Kertas kerja itu adalah dari arahan BPG dan peringkat Kementerian Pendidikan. Kemudian BPG dan Kementerian memurnikan kertas tersebut. Persatuan Suluh Budiman dibawah Tan Sri Awang Had Salleh beberapa kali dipanggil oleh menteri bagi membincangkan penubuhan UPSI. Beberapa mesyuarat, Tan Sri sentiasa mengatakan PSB perlu kuat dan bersiap sedia penubuhan UPSI. Sebenarnya PSB sebagai sebuah pertubuhan NGO berperanan kuat dalam penubuhan UPSI. Tan Sri Awang Had Saleh sentiasa mendesak agar IPSI dinaik taraf sebagi Universiti.

Pada tahun 1997 dalam konvokesyen IPSI di Dewan SITC menteri pendidikan Datuk Najib Tun Razak (Sekarang PM) mengistiharkan penubuhan UPSI. Berita gembira itu di sambut sorak gempita oleh seluruh warga IPSI di dalam dewan, Selepas pengumuman itu PSB bermesyuarat dan dalam mesyuarat tersebut Tan Sri menyatakan beliau dipanggil oleh menteri untuk memilih Naib Canselor pertama. Beliau menyatakan beberapa nama dipilih. PSB mencadangkan orang yang dipilih hendaklah orang yang pernah ada pengalaman dengan Ibu Kandung dan kalau boleh bekas peluntut. Tidak lama kemudian Dr. Ashari iaitu bekas pengetua IPSI tahun 1987 -1992 datang melaporkan diri sebagai NC di UPSI. Pada peringkat awal UPSI ditubuhkan (Pada masa itu IPSI masih berada di tempat yang sama), saya diamanahkan membantu beberapa pentdabiran UPSI, pada masa itu saya masih berkhidmat di IPSI. Beberapa kali saya dipanggil oleh Dr. Asyari membantu beliau dari segi reka bentuk logo UPSI dan Persiapan kemasukan pelajar pertama. Saya masih ingat, saya menyediakan buku atur cara majils angkat sumpah pelajar pertama dan saya juga menyusun majis tersebut. (saya menggunakan pengalaman saya semasa penuntut di USM dan masa itu saya sebagai pengerusi suaikenal di USM pada tahun 1990). Saya susun cara perarakan itu ala USM. Kami pensyarah di IPSI memakai jubah IPSI dalam perarakan tersebut. selepas minggu suai kenal saya memanggil semua pelajar pertama UPSI menubuhkan AJK Penajaan MPP. Saya juga membantu menghasilkan laman web pertama UPSI dan mereka bentuk 'design'; sijil Ijazah, Pingat, badan Bas UPSI dan pemilihan warna bangunan-bangunan di UPSI. Pada peringkat awal UPSI juga saya sebagai setiausaha penaja penubuhan ALUMNI UPSI dan akhirnya mengabungkan Persatuan Suluh Budiman dangan Alumni UPSI dengan nama Alumni Suluh Budiman.

Penubuhan Fakuti Sains Sosial dan Kesenian, pada peringkat awalnya, Dr. Ashari telah melantik Tn. Hj. Iberahim sebagai penggerak dan pengubal. (Pada masa itu saya tidak dapat diserapkan ke UPSI kerana tidak mempunyai Ijazah Sarjana). Tn. Hj. Iberahim (Sekarang PM) melantik En. Ahmad Suhaimi (sekarang Dr.) untuk membantu penubuhan fakulti. Dalam masa yang sama saya melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di USM. Namun Tn. Hj. Ibrahim sentiasa menghubungi saya untuk membantu dalam perancangan pembinaan kurikulum Seni. Saya membantu dalam kurikulum Grafik dan Komputer Grafik. semasa saya menuntut di USM saya juga membantu menjadi pengajar kepada kumpulan pelajar seni pertama dalam bidang Komputer Grafik. Pada masa itu PM Tn. Hj. Iberahim dan Dr. Ahmad Suhaimi bertungkus lumus menjadi pentadbir dan pengajar. Hinggalah perlantikan beberapa pengajar seperti Drs Izani, PM Zahidi dan Pm Zulkifli Yusuf. Tenaga pengajar lain adalah dari pensyarah dan guru luar yang dilantik secara sambilan. Azhar dari lembanga kraftangan dilantik sebagai pereka seni pertama. Satu lagi yang tidak boleh saya lupakan ialah cadangan saya melalui PSB mengekalkan lagu Ibu Kandung Suluh Budiman sebagai lagu rasmi UPSI... pada mulanya ada cadangan lagu baru untuk UPSI... Saya menggunakan pletform Dato Seri Hilmi (manta Presiden Alumni Suluh Budiman) untuk menyuarakan kepada VC Dr. Mat Noor hal tersebut, akhirnya VC setuju....

Dipendikkan cerita....suka saya menyatakan beberapa kejaya dalam aktiviti fakulti ini, antara lain:
1. Pameran Digital bersama USM dirasmikan oleh menteri Besar Perak pameran di Ipoh dan Yang dipertua pulau pinang pameran di USM.
2. Mou dengan kacakraf
3. Mou dengan Kraftangan
4. Malam Kesenian di Pekan Tg. Malim
5. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Seni
6. Penerbitan buku koleksi esei pendidikan seni dan muzik
7. Pameran karya pelajar di NN Galeri
8. Beberapa penyelidikan memenangi peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa
9. Dan banyak lagi.... (sekadar yang saya ingat....)

Segala apa yang saya coretkan adalah sebagai rasa kecewa terhadap apa yang berlaku pada bidang seni visual di UPSI. disinilah satu-satunya tempat rujukan bidang mata pelajar pendidikan seni visual dinegara ini. Terdapat pensyarah seni mempunyai nama besar di peringkat nasional dan antarabangsa sepeti Prof. Dr. Zakaria Ali (penulis & pengkritik seni), Prof Tejtej (Penulis & Budayawan), Dr. Suhaimi (Penulis) , PM Zulkifli Yusuf (Pelukis Terkenal), Dr. Johari (Penulis), Dr. Nasir (Penulis), Dr. Fauzi (Pelukis), En Razak (Pereka bentuk Kaca), En. Abu Bakar (pereka bentuk seni logam halus), Tn Syed. (Graphic designer), En. Zainuddin (Arcawan), Dr. Halim terlibat sebagai pengubal kurikulum sekolah seni. Saya juga terlibat sebagi panel pengubalan kurikulum pendidikan seni KBSM, Kurikulum Sekolah Seni dan Kurikulum Seni Visual STPM. Drs Izani banyak terlibat dengan Kementerian Kebudayaan. Dan beberapa pensyarah yang terlibat dalam konsaltan...

Saya juga mengangkkat topi dan merasa kagum atas keperihatinan sahabat saya Prof. Dr. Zakaria Ali, Dr. Halim Husin, Dr. Johari, Dr. Roskang, Dr. Fauzi dan beberapa sahabat yang tidak disebutkan nama. begitu juga teristimewa Dr. Suhaimi yang berada di Bali sentiasa menghubungi kami dan dapat berbincang dengan Datuk VC untuk meletakan nama 'SENI' dalam Fakulti yang baru (Fakulti Perkomputeran, Seni dan Industri Kreatif)..... Tahniah dan Syabas ...
Itulah... segalanya Seni Visual di UPSI....

Catatan ini adalah sekadar luahan perasaan saya terhadap situasi terkini, siapalah saya hanya dapat melontarkan sedikit cerita-cerita silam dalam ingatan yang sementara dan diri ini sentiasa merasakan pentingnya seni visual...

Tuesday, September 15, 2009

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya
Maaf zahir batin

Kepada,
Semua pembaca, pelajar=pelajar saya dan sahabat-sahabat saya.

Semoga Hari Raya ini mendapat keberkatan
dan kegembiraan bersama keluarga dan sahabat

Hassan Mohd Ghazali
hassan@fsm.upsi.edu.my

Sunday, September 13, 2009

Kad Raya Elektronik sumbangan besar oleh Pereka Grafik




Sejak teknologi komputer kemudiannya era digital melanda dunia sejak tahun 1980-an, peranan pereka grafik menjadi semakin mencabar dan diperlukan. Dunia ICT yang diperkuatkan dengan teknologi digital dan network menjadi suatu aras kepada masyarakat kini, yang mana kalau tidak mengetahui dan tidak menggunakan maka dipanggil 'Buta ICT' pada masa dulu kalau tak tahu mambaca di sebut 'Buta Huruf'.

Dunia ICT tidak akan ceria tanpa visual dan visual akan wujud apabila 'desinger' yang manupulasikan reka bentuk. Justru Kewujudan ICT tidak lari dengan dunia Seni Visual. Peranan Visual dalam apa juga bentuk komunikasi seperti antara irama dan lagu (pinjaman kata P.Ramlee). Oleh yang demikian 'graphic desinger' perlu sentiasa membaca, memikir dan belajar teknik-teknik terkini dalam reka bentuk, samada reka bentuk pegun atau reka bentuk degital.

Suatu yang menarik yang perlu ada pada pereka bentuk grafik ialah 'Pemikiran Grafik'. Apa maksud pemikiran grafik?. Pemikiran grafik ialah cara seorang pereka grafik memikirkan olahan 'design' melalui imej, tipografi dan warna dengan gubahan yang senang diterima umum. Dalam olahan reka bentuk perlu ada nilai simplicity, penegasan, keterbacaan dan mempunyai makna yang sesuai. Paling penting pereka harus mengusai Bahasa Seni Visual dengan baik.

sempena menjelangkannya Hari Raya, saya mengambil beberapa laman web percuma untuk para pembaca dan tetamu menggunakan Kad Raya elektonik sebagai bahan komunikasi ucapan pada rakan dan taulan. Sila klik pada links berikut:


Kartunis menerima anugerah Doktor Kehormat Universiti






Sering kali orang menganggap dunia kartunis tidak sebagai akdemik. Kartun dianggap sebagai media lucu dan mewakili kumpulan kanak-kanak. Tanggapan ini banyak berubah kerana peranan kartun sudah menjangkau lebih dari itu. dunia kartun kini lebih dari sebuah cerita pendik untuk kumpulan kanak-kanak. Di negara Barat, Jepun dan Cina sudah sekian lama masyarakat dewasa menghayati komik untuk menjadi bacaan mereka. Sebenarnya banyak bahan dari komik dan kartun menjadi filem-filem besar.

Yang paling menarik ialah pemikiran kartunis menghasilkan karya lebih futuristik dari zamannya. Saya ambil contoh model kereta (motokar). Pada satu masa dulu lukisan kartun untuk kereta bulat-bulat dan macam tidak lojik. Tapi kini model kereta sekarang banyak mendapat inspirasi dari lukisan komik dan kartun zaman 60-an dulu.

Kartun juga memberi imej yang tegas kepada isu-isu. Saya teringat kejatuhan Presiden Amerika (Kalau tak silap presiden Nickson). Kerana terlalu kerap kartun-kartun di Amerika menggambarkan karikator negatif terhadap presiden itu maka beliau jatuh. Imej Kartun melambangkan kekuatan visual dalam erti kata ' visual mempunyi 1000 pengertian'.

Pada 16 Mac yang lepas saya merasa berbangga kerana seorang kartunis agung iaitu Lat telah menerima penganugerahan Kehormat Doktor Seni dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Nama sebenar lat ialah Dato' Mohamad Nor Khalid. Penganugerahan ini menandakan bahawa Kartun dapat diterima sebagai sumbangan yang besar terhadap masyarakat.  

Thursday, September 10, 2009

Pentingnya Warna......







Entah mengapa saya merasakan satu elemen penting dalam penghasilan seni visual adalah elemen warna. Ramai pengkarya amatur tidak dapat menghayati penggunaan warna dengan baik. Malah, setelah mempelajari warna sejak dibangku sekolah rendah lagi. Mengapa saya katakan begitu?. Pada saya pembelajaran warna disekolah hanya sekitar pada pengenalan warna sahaja. Guru mengajar asas warna melalui aktiviti roda warna, kemudian warna sekunder, tertiar, ton, sewarna dan seterusnya. Guru jarang sekali mengaplikasikan warna secara psikologi, emosi dan persepsi.

Sebelum saya menghuraikan lebih panjang tentang penggunaan warna telebih dahulu saya ambil pengertian warna: Warna ialah sifat cahaya yang ditentukan oleh panjang gelombang (atau oleh kandungannya sebagai paduan untuk beberapa panjang gelombang). Julat panjang gelombang nampak untuk cahaya dikenali sebagai spektrum nampak , atau dengan mudah sahaja sebagai spektrum. Istilah warna boleh juga merujuk kepada sifat objek-objek atau bahan-bahan yang ditentukan oleh jenis panjang gelombang yang dipantul, dihantar, atau dipancar. Biasanya, hanya ciri-ciri kandungan cahaya yang dapat dikesan oleh manusia diambil kira dan oleh itu, warna juga boleh dianggap sebagai satu fenomena psikologi. Pengolahan berbagai-bagai kegunaan istilah ini merupakan tugas utama falsafah semasa.

Sejarah penggunaan warna diketahui sejak 1550 SM di Mesir, dimana penggunaan warna adalah bagi tujuan terapi. Bertolak dari situ penggunaan warna buka sahaja digunakan untuk menghasilkan sesebuah karya dan reka bentuk, malah digunakan sebagai perubatan dan terapi.

Pada masa ini warna mempunyai potensi dalam kehidupan harian, kita perlukan berpakaian dengan pemilihan warna yang sesuai, dirumah memilih perabot dan hiasan berkehendakkan warna yang senang dipandang, membeli kereta memilih reka bentuk dan warna yang menarik. Pendik kata segalanya kita akan menumpukan pada warna.

Dalam kehidupan kita seharian warna mempunyai peranan yang sangat penting iaitu:
1. Warna sebagai warna
2. Warna sebagai representasi alam
3. Warna sebagai tanda/makna/lambang/simbol.

1. Warna sebagai warna memberi maksud bahawa penglihatan warna pada sesuatu yang dijadikan oleh Allah itu adalah seadanya. Warna daun Hijau, warna langit biru, warna awan putih.

2. Warna sebagai represtasi alam bermaskud penggunaan warna dikaitkan dengan alam sekitar. Misalnya warna hijau dikaitkan dengan kesuburan tumbuh-tumbuhan seperti daun, rumput dan pokok. Warna Biru dikaitkan dengan keluasan dan kejauhan seperi langit, gunung-ganang. Kebiasaan pengkarya naturalis dan realis menggunakan idea ini.

3. Warna sebagai tanda/makna/lambang/ simbol menjurus pada makna dan konsep warna tersebut. Dalam warna dan budaya masyarakat Melayu banyak tanda-tanda warna antara kuning langsat, kelabu tahi anjing dan sebagainya. warna juga dikaitkan dengan makna atau simbol tertentu misalnya:
warna merah: marah, ghairah, darah, berani, cinta yang membara
warna Putih: suci, tidak berdosa, setia, alim
warna Kuning: kecewa, pengecut, sakit hati, duka, mistri
warna Biru: keceahan, perpaduan, keagungan, keriangan
warna Hijau: kesuburan, kedamaian, kerukunan, cemburu, sejuk
warna Hitam: Kematian, kecewa, kegelaapan dan lain-lain

Secara umumnya peranan warna dalam pengkaryaan seni visual sangat penting dititik beratkan. selain perkara yang dibincangkan paling penting mengetahui tentang teori warna dan psikologi warna.

Tuesday, September 8, 2009

Akademik Seni Awal di Malaysia





Ramai di antara kita tidak mengetahui bahawa negara kita telah lama ada Akademi Seni iaitu sejak 1879. Akedemi seni yang dimaksudkan ialah Akademi Seni Tengku Temenggung di Kelantan. Pendedahan wujudnya akademik seni ini dibuat oleh Allahyarham Abdullah Mohamed  atau terkenal dengan panggilan NAKULA. Beliau telah membuat kajian dan temuramah dengan tokoh-tokoh kesenian Kelantan. Kajian beliau sangat menarik, kerana data dan maklumat melalui individu-individu tertentu cukup dengan tahun dan orang yang ditemuramah.

Negeri Kelantan memang terkenal dengan kesenian tradisi dan masih kekal dan mempunyai identiti tersendiri. Antaranya ialah Makyong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Pencak silat, Rebana Besar dan Tarian Asyik, Batik, Ukiran kayu dan tenunan.

Tidak mustahil Kelantan mempunyai akademik seni sejak sekian lama, kerana kesenian masih utuh hingga sekarang. Ini membuktikan bahawa kebudayaannya masih dijaga dan mempunayi warisan. Paling penting ialah segala warisan ini dikawal oleh Istana. 

Abdullah mengambarkan kedudukan akademik seni dan menyatakan, Kawasan Kota Bharu, Kelantan pada masa dahulu terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Tengah, Hilir dan Hulu. Kawasan Hilir Kota Bahru terletaknya kawasan tempat menjalankan aktiviti kebudayaan, antaranya di Kampung Kubang Pasu, Atas Bonggol dan Tok semian. Sementara itu Kubang Pasu terletak satu kawasan perumahan seluas 2 ekar dikelilingi dalam bentuk empat segi oleh pagar dari zink setinggi 6 kaki yang diperkuatkan tiang-tiang kayu. Di dalamnya terletak sebuah istana putera raja di sebelah utaranya terdapat bangsal pentas makyong, satu bangsal wayang kulit, bangsal rebana besar dan satu gelanggang pencak silat. Disebelah selatan istana pula terdapat deretan asrama tempat pelajar akademik seni. tempat ini dinamakan oleh Abdullah sebagai "Kawasan Akademik Seni Tengku Temenggong".

Kurikulum atau 'mata pelajaran' di akademik seni itu ialah:
1. Pelajaran agama
2. Pelajaran Seni Budaya.

Antara pelajaran agama ialah:
1. Ilmu Tauhid menggunakan kitab "Faridatul-Faraid fi Ilmil-Aqaid" Teks wajib
2. Ilmu Hakikkat menggunakan kitab "Kitab Soghir"
3. Fikah tiada teks wajib
4. Ilmu Al-Quran bersama tajwid.
5 Ilmu bacaan Berzanji bersama Qasidah menggunakan kitab "Al-Barzanji" teks wajib.

Pelajaran Seni Budaya ialah:
1. Wayang Kulit
2. Makyong
3. Pencak silat
4. Rebana Besar
5. Tarian Asyik

Akdemik Seni adalah dibawah pengurusan Tengku Temenggung (sebagai rektor), dilantik dikalang orang yang kuat beribadat. Menurut Abdullah, " Pada tiap-tiap kali selepas sembahyang magrib Tengku Temenggung berzikir dan berwirit sampai waktu Isyak. Bila tamat sembanhyang Isyak dan bacaan zikir dan wirit, baginda berkahak tiga kali signal bagi para pelajar bahawa bunyi-bunyian gamelan dapat dimulakan. Kalau menurut ujuran jam, kahak-kahaknya terjadi antara jam 8.30 dan 8.45 malam". 

Pada malam Jumaat diharamkan sama sekali membunyikan apa-apa bunyian. Cuti akdemik belaku pada bulan Ramadhan iaitu mulai malam Nisfu atau 15 Syaaban dan berlanjutan hingga malam 8 Syawal, lebih kurang 2 bulan.

Friday, September 4, 2009

Seni Visual pada pandangan Islam


Dalam perbincangan yang lepas saya telah melontarkan hukum melukis dalam Islam menurut pandangan Syekh Yusuf Qardhawi. Saya terus membaca beberapa buku yang berkaitan dengan seni atau kesenian dalam Islam (Seni Visual dalam Islam), Antara buku yang saya baca bertajuk 'Islamic art' Karya David Talbot, ' Aspek-aspek Kesenian Islam' oleh sahabat saya Dr. Ahmad Suhaimi Mohd Nor & Manja Mohd Ludin, 'Pandangan Islam Tentang Kesenian' oleh Dr. Sidi Ghazalba dan 'Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus' Oleh Syed Hussein Nasr.  Sebenarnya buku-buku ini pernah saya baca dulu, kali ini saya hanya merujuk beberapa fakta berkaitan seni visual dalam Islam.

Secara umumnya beberapa hukum fekah Islam tidak menyebut tentang kesenian. Malah banyak ulamak terdahulu tidak menyebut tentang kepentingan kesenian dalam Islam. Kerana dalam Islam tidak memerlukan seni dalam manifestasi kepada ibadah. Ringkasnya dalam ibadah tidak perlu ada lukisan, tarian atau muzik. Penghuraian tetang seni hanya tercetus apabila beberapa tokoh Islam melihat terdapatnya nilai-nilai keindahan dalam seni bina, tulisan khat dan arabes. Malah beberapa tokoh Islam pernah melemparkan polimik tentang 'Seni Islam atau Seni orang Islam?'......

Persoalannya apakah padangan Islam terhadap seni terutamanya Seni Visual seperti Catan, Arca, cetakan dan grafik?. 

Saya tertarik pandangan Sidi Ghazalba yang menyatakan bahawa Seni adalah bekaitan dengan kebudayaan, oleh itu perkaitan kebudayaan adalah kehidupan manusia, maka kebudayaan itu mencetuskan seni. Oleh yang demikian untuk dikaitkan dengan seni, Sidi menyatakan bahawa Kebudayaan Islam perlu disuburkan melalui cita rasa taqwa Taqwa ialah sikap hidup yang dibentuk melalui aqidah, ibadat dengan panduan dari Al Quran dan Hadis. Menurutnya lagi setiap perbuatan muslim perlu berpangkalkan kerana agama (kerana Allah), sementara kebudayaan adalah untuk sesama manusia.

Kenyataan di atas dipersetujui oleh Dr. Ahmad Suhaimi dalam buku Aspek-aspek Kesenian Islam yang mana mennyatakan Seni adalah sebahagian daripada unit yang terkandung dalam lingkungan budaya. Kewujudannya merupakan artifak-artifak fizikal yang menjelma di permukaaan benda-benda yang lembut dan pepejal menjelaskan dengan nyata tidak pernah menafikan kewujudannya dalam kegiatan umat. 

Jelas sekali bahawa kesenian dalam Islam ada hubungannya dengan kebudayaan, lantaran itu pelukis menghasilkan karya seni perlu merujuk kepada tujuan penghasilan iaitu pengabdian kepada pencipta (Allah) sebagaimana yang dinyatakan oleh Ernst Diez: " sebenarnya seni Islam atau Kesenian Islam adalah merupakan kesenian yang menambahkan pengabdian diri kepada Allah".

Riwayat Hadis Muslim, "Allah itu indah dan sukakan akan keindahan", merupa pengangan kuat kepada para seniman yang menyatakan bahawa Islam boleh berganjak untuk menghasilkan pengolahan karya seni, kerana karya-karya seni adalah melahirkan nilai indah. sebenarnya, keindahan yang dimaksudkan lebih kepada keindahan batiniah yang terkandung dalam jiwa manusia. Manakala keindahan itu adalah manifestasi kepada salah satu sifat-sifatNya (Allah), memiliki bermakna menghargai dan mencintai sifat-sifat Allah. Umapanya seperti dinyatakan oleh Al-Ghazali bahawa keindahan pada seni bina Islam adalah memancarkan keharmonian jiwa seniman itu sebagai lambang kemurnian akhlak dan ilmu terhadap Allah SWT.

Menurut S.H.Nasr, Kesenian Islam tidak pernah menjadi satu peringkat penyataan masalah atau pengalaman psikologi individu. Seseorang seniman Muslim, dengan Islamnya diri maka dengan menyerah kepada peraturan dan undang-undang Tuhan. Bagi fikiran muslim, seni memperingkatkan manusia akan Tuhannya.

S.H. Nasr mengemukakan bahawa seni Eropah dan seni Islam berlainan sama sekali. Seni Eropah yang berpaksikan daripada zaman Greek dan Yunani lebih berfokus kepada karya-karya figuratif dan 'imej bebayang'. Berbanding karya seni Islam tidak menampakan persoalan lebih mementingkan pengabdian kepada Allah dengan menonjolkan kaligrafi khat membicarakan ayat-ayat Allah, melukis arabes di masjid-masjid agar manusia beribadah akan merasa tenang.

Seperti diperjelaskan oleh Dr. Ismail Hamid, Seni dalam Islam menanamkan rasa khusyuk kerana Allah disamping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makluk Allah yang diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada kesenian, oleh itu seni dalam Islam tidak berslogan seni untuk seni, tetapi seni kerana Allah untuk manusia. 

Wednesday, September 2, 2009

Lama tidak berpameran....



Terusik hati apabila teringat beberapa pelukis- pelukis yang sama berjuang dalam Angkatan Pelukis SeMalaysia pada sekitar tahun-tahun  1980an dan awal 90an, Mereka ialah Rafie, Sani, Samsuddin, Aris Aziz (Central Market), Ghani (Central Market), Shafie, Mustaffa, Aminuddin Ariffin dan beberapa kawan lain yang tidak dapat disebutkan nama. Mereka masih aktif dalam melukis dengan media cat air dan cat minyak, tetapi masih mengekalkan 'isme' realis atau naturalis. Kesungguhan mereka melukis bukan atas dorongan materialis, malah bukanya mahu popular, tetapi atas dorongan minat dan kebolehan melukis disamping ingin menyampaikan mesej, mereka terus melukis.

Baru-baru ini satu pameran berlangsung di Plaza Warisan, Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur...
saya menambil petikan komentar oleh Sy Mussaddad Mahdi dalam Utusan: 

Setiap pelukis ada falsafah mereka tersendiri. Pada saya biarlah mereka nak lukis apa pun asalkan boleh menanggung hidup. Saya melukis dan menjual lukisan untuk terus hidup," kata Sani Sudin ketika kali pertama bertemu.

Bagi yang kurang mengenali insan seni ini pasti akan terkejut dengan kenyataannya. Tetapi pada yang sudah mengerti, ini adalah sesuatu perkara yang biasa.

Katanya lagi, setiap orang mempunyai tafsiran dan tujuan untuk menghasilkan karya seni. Jadi terpulanglah setiap pelukis untuk meluahkan apa sahaja yang tersurat dan tersirat seterusnya menjadi lukisan yang unik dan menarik.

"Kebanyakan lukisan yang saya hasilkan diangkat daripada pelbagai sumber seperti puisi mahupun teks-teks sastera yang lain. Semua ini digarap mengikut tafsiran saya sendiri.

"Saya tidak kisah apa juga tafsiran yang akan orang lain buat apabila melihat lukisan saya. Cara orang lain melihat sesebuah lukisan bukannya sama.

"Lagi dalam orang berfikir lagi luas maksud yang dia dapat. Pada yang malas mentafsir hanya akan dapat lapisan pertamanya sahaja," kata Sani ketika ditemui pada perasmian Pameran Lukisan Karyawan Tempatan baru-baru ini.

Pameran yang diadakan sempena perasmian Bazaar Seni Rakan Niaga Melayu Warisan Borong di Wisma Warisan, Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur itu turut disertai sembilan pelukis dari Istana Budaya dan enam pelukis jemputan.

Sebanyak 70 buah lukisan dipamerkan selama sebulan merangkumi pelbagai medium seperti catan, akrilik, cat air dan sebagainya.

Biarpun sudah banyak pameran yang disertai oleh Sani selama ini, baginya khalayak yang meminati lukisan masih lagi kurang memberangsangkan biarpun negara semakin maju.

"Perkara ini bukan perkara yang baru dan asing. Orang kita hanya datang ke pameran lukisan sebab segan dengan kawan-kawan. Kalau tak datang apa kata mereka nanti.

"Jadi kalau nak kata kegiatan lukisan berkembang dengan pesat, tidak juga. Tapi perubahan itu masih lagi tetap ada setiap tahun dan biarlah ia terus berkembang dengan maju pada masa akan datang," kata Sani lagi.

Menariknya mengenai pameran kali ini, ia menghimpunkan pelukis-pelukis daripada Istana Budaya yang selama ini kurang diketahui umum. Kesemua pelukis yang mempamer lukisan terdiri daripada mereka yang bergiat aktif bekerja di belakang tabir sahaja.

Kurator Pameran Lukisan Karyawan Tempatan, Rahimidin Zahari berkata, kebanyakan pelukis Istana Budaya kurang dikenali kerana mereka bukanlah pelukis sepenuh masa seperti seniman yang lain.

"Ini bukanlah satu perkara yang baru. Selama ini pun sudah banyak institusi yang mempunyai pelukis seperti mereka yang bekerja sebagai pereka set persembahan dan sebagainya," katanya.

Pelukis Datuk Hoesein Enas pernah mengetuai unit rekaan set di RTM. Selain itu terdapat juga beberapa nama besar yang lain seperti Nik Zainal Abidin Salleh dan Dzulkifli Buyung yang turut melalui fasa yang sama.

Antara yang terlibat termasuklah Ahmad Marzuki Abu Hassan, Termize Mokhtar, Razali Itam, Kamarudin Abd. Ghani, Siti Nasyreen Zaharin, Sarena Azizan, Azzazizul Shuib, Azmi Awang dan Muhammad Colmann Abdullah.

"Ini adalah titik permulaan kepada pelukis-pelukis Istana Budaya untuk mempamerkan bakat yang mereka miliki. Melihatkan sambutan yang diterima pada hari ini, kita yakin semuanya akan berjalan mengikut perancangan.

"Dari sini, kita akan cuba melakukan pameran pada masa akan datang agar bakat-bakat yang Istana Budaya miliki dapat diketengahkan kepada umum," katanya lagi.

Rahimidin juga mengucapkan terima kasih kepada para pelukis yang terdiri daripada Aris Aziz, Amirudin Ariffin, Sani Sudin, Azmi Mambo dan Hazin Misran yang sudi menggabungkan karya mereka untuk pameran kali ini.