Wednesday, March 31, 2010

Teori Semiotik Dalam Karya Seni Visual

Jarang sekali dalam dunia seni visual dinegara kita membincangkan kritikan dan persoalan seni visual atas landasan teori. Teori seni juga kurang menarik dibincangkan mungkin kerana ianya sukar difahami dan kurang orang seni visual meminati. Persoalan teori seni visual menjadi lesu dan tidak diambil pusing oleh sarjana-sarjana dalam bidang seni visual. Berbanding dengan disiplin seni sastera yang sangat ghairah membincangkan aspek-aspek teori dalam penghasilan karya-karya mereka.

Saya terpanggil untuk membincangkan kepentingan kritikan teori dalam seni visual terutama yang akan saya sentuh ialah teori semiotik. sebenarnya sebuah karya seni visual adalah juga merupakan susunan kata ibarat sebuah 'prosa' atau sebuah 'puisi' yang termaktub melalui bahasa visual. Teori semiotik adalah landasan metodologi membuka bahasa dalam sebuah karya seni visual melalui 'pembedahan' dari seni makna tersirat dan tersurat. Kalau kita membaca beberapa buah buku mengenai teori semiotik ini, kita dapati bahawa gagasan pemikiran semiotik itu sendiri melalui proses pengembangan dari tokoh seperti Pierce, Levi strauss, Roland Bartes, Umberto Eco hingga Vihma. Perkembangan teori ini memberi kesan yang besar terhadap pemikiran berlandaskan estetik dan artistik.

Semotik adalah berasal dari kata Yunani iaitu 'Semeion' yang bermaksud tanda. Istilah ini diperkenalkan oleh ahli falsafah Jerman yang bernama Lambert dalam abad ke 18. Dua orang tokoh utama sebagai printis memperkenalkan semiotik ialah Charles Sanders Pierce (1839-1914) dan Ferdinand de Saussure (1857-1913).

Pierce menyatakan maksud 'tanda' adalah sangat luas dan melangkaui tanda-tanda yang bersifat umum. Menurutnya ada tiga hubungan yang berkaitan dengan tanda, iaitu:
1. Ikon - contoh: peta, logo, lambang dsb.
2. Indeks - contoh: seni reka tanda, penunjuk arah dsb.
3. simbol - contoh: bersalaman, angguk kepala tanda setuju dsb.

Persoalanya bagaimana dikaitkan dengan kritikan teori ini dengan karya seni visual?.
Kalau diambil kira kenyataan pierce yang menyatakan maksud tanda dan kaitan dengan ikon, indeks dan simbol maka kita booleh rumuskan bahasa dalam sesuatu karya seni visual samada dalam seni halus (pengkaryaan) atau reka bentuk (perekaan), tiga perkara ini dapat dirangkumkan melalui petunjuk makna tersirat. Dalam penghasilkan sebuah karya seni visual pengkarya akan menentukan hal benda sebagai mewakili maksud karya oleh yang demikian maka itu adalah maksud ikon yang mewakili dasar pokok persolan yang dikemukakan oleh pengkarya. Sementara peristiwa atau sesuatu perkara seperti budaya dan pengaruh yang hendak digambarkan itu adalah merupakan indeks. Manakala simbol adalah makna tersirat melalui imej dan gubahan yang dibentuk.

Dalam bidang komunikasi visual sangat berhubung rapat dengan teori semiotik ini. Dalam buku Basic Visual Concepts and Principles oleh Charles Wallschlaeger dan Cynthia Busic-Snyder di awal penerangannya menyatakan kepentingan dalam sesuatu reka bentuk adalah seseorang pereka bentuk memahami teori persepsi dan teori komunikasi. Teori persepsi yang dimaksudkan ialah teori Gestalt dan teori komunikasi ialah teori semiotik atau 'teori tanda'.

Wednesday, March 24, 2010

Bicara Seni 5 April 2010 - Pentaksiran Seni Visual STPM

Sempena Pameran Seni Visual STPM yang berlangsung di Galeri UPSI yang bermula pada 1 April 2010, saya ditugaskan untuk memberi ceramah untuk calon STPM dengan tajuk Pentaksiran Seni Visual STPM.
Sinopsi tajuk yang akan saya bentangkan:

1. Format pentaksiran kertas 1, 2 dan 3 dalam Seni Visual STPM.
2. Bagaimana untuk mendapat markah yang baik untuk menjawab kertas 1 - penghuraian bagaimana format yang baik untuk menjawab dan apakah faktor permarkahan setiap soalan.
3. Teknik-teknik untuk mendapat markah yang baik dalam kertas 2. Calon akan didedahkan apakah aspek pemarkahan dalam kertas 2.
4. Aspek penting untuk mendapat markah yang baik kertas kerja kursus. (mengikut soalan tahun ini)
5. Bagaimana untuk mendapatkan markah yang baik untuk portfolio kertas 3.

Diharapkan perbentangan ini membantu calon STPM.

Sunday, March 21, 2010

Pameran Karya Seni Visual STPM


Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dengan Kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan pameran hasil karya Seni Visual STPM bertempat di Galeri UPSI. Pameran ini adalah hasil kerja calon-calon STPM kertas 2 dan 3 yang dipilih. Sebanyak lebih 50 karya Catan, Lukisan, Grafik, Batik, Arca, Reka bentuk dan sebagainya akan dipamerkan sepanjang sebulan bermula pada 1 hingga 30 April 2010.

Sepanjang pameran pihak pengajur menyediakan acara sampingan seperti demontasi seni visual dan ceramah-ceramah antaranya:

Demontarasi Seni Visual:
Berjalan sepanjang pameran di ruang legar Galeri Seni UPSI dari Jam 10.00 pg - 5 Ptg.
Antara bidang Seni Visual: Batik, Seramik, Ukiran anyaman, Catan, Logam Halus dan Tenunan.

Ceramah (Bicara Seni)

5 April 2010 - 10.00 pg. Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Pentafsiran Seni Visual STPM - Penceramah: En. Hassan Mohd Ghazali

7 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Lukisan/Folio - Penceramah: Dr. Roskang Jailani

12 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Hiasan Dalaman - Penceramah: Cik Muriza Mustafa

14 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Catan - Penceramah: Dr. Mohd Fauzi Sedon

15 April 2010 - 10.00 pg . Auditorium Utama bertajuk: Seni Visual STPM - Penceramah: Prof. Dr. Mohd Mustafa Mohd Ghazali.

22 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Rekabentuk Kraf - Penceramah: En. Abu bakar Sabran

28 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Grafik - Penceramah: En. Amir Hashim

Nota: Bicara seni yang dijalankan adalah dihadkan penyertaan seramai 120 orang sahaja. Sila hubungi urusetia untuk membuat penempahan tempat - No. Tel: 03-6136 9663 ext 2614/2608/2702.


Tuesday, March 16, 2010

Banyak Buku-buku Rujukan Pendidikan Seni Visual tidak menepati kehendak kurikulum PSV

Baru-baru ini saya terlibat mengajar kaedah mengajar kepada guru-guru Pendidikan Seni Visual (PSV) bagi Sekolah-sekolah Menengah Rendah Sains MARA (MSRM) di Kolej Poly-Tech MARA di Bangi. Saya merasa kagum dengan guru-guru ini kerana mereka mengajar Pendidikan Seni Visual disekolah yang memperjuangkan bidang matematik dan sains. Peranan mereka adalah memperkenalkan Seni Visual kepada murid-murid pilihan yang bakal menerajui kepakaran bidang Sains dan Teknologi. Bukan senang mengajar di MSRM dalam bidang PSV, kata mereka terdapat pelajar dan guru yang meremehkan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Bidang ini kononnya tidak mempunyai nilai pasaran yang baik.

Sebenarnya bukan persoalan itu yang saya nak sentuhkan di sini. Persoalan yang lebih penting dan paling penting bagi kita yang 'bergelumang' dengan Pendidikan Seni Visual ialah bahan-bahan rujukan Pendidikan Seni Visual terutama buku-buku yang diedarkan di sekolah-sekolah. Saya tersentuh apabila guru pelatih mengajar Mikro dan Makro tersilap fakta dalam pengajaran mereka kerana membuat rujukan buku-buku yang telah diterbitkan dan menjadi buku rujukan disekolah mereka.

Pada masa kini terdapat banyak penerbit-penerbit dan penulis yang membuat buku Pendidikan Seni Visual. Kebanyakan buku-buku ini tidak ada kawalan dari segi kandungan, mutu dan standard imej dan bahasa. Bagi guru-guru PSV, buku-buku adalah dapat membantu pengajaran mereka dalam bidang ini, tambahan pula bagi guru yang bukan opsyen PSV.

Buku-buku yang ada dalam pasaran kebanyak mengambil bahan dari buku-buku Pendidikan seni Visual yang ada dalam pasaran dan mereka hanya mengubah suai dari segi ayat dan gambar sahaja. Penulis buku-buku berkenaan tidakpun merujuk kurikulum dan Huraian Kurikulum yang telah disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurukulum (PPK). Ini yang malang sekali. Saya telah meneliti beberapa buku yang mempunyai kesalahan besar dalam menyempurnakan isi kandungan kurikulum dan P&P Pendidiakan Seni Visual:

1. Kandungan Buku tidak menepati kurikulum tingkatan 1 hingga 5.
2. Tidak mengikut Huraian sukatan (Diluar kulit meyatakan mengikut huraian sukatan)
3. Aras soalan tidak betul (misalnya soalan yang dikemukkan menyatakan aras aplikasi tapi soalan yang dinyatakan aras pengetahuan)
4. Kandungan (contents) yang tidak betul, paling banyak salah ialah bidang grafik.
5. Gambar dan imej tidak menepati kehendak seni visual.
6. Terdapat buku yang hanya mementingkan pepereksaan semata-mata.

Saya berharap dapat komen dari guru-guru Pendidikan Seni Visual dalam hal ini.

Thursday, March 11, 2010

Persiapan Pameran Seni Visual STPM





Pada 11 Mac 2010, Jawatankuasa persiapan pemeran sehari suntuk memilih karya-karya terbaik di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Staf Jabatan Seni UPSI dikalangan beberapa pensyarah dan pereka seni datang ke MPM memilih karya-karya untuk pameran yang akan berlangsung pada 1 hingga 30 April 2010 di Galeri Seni UPSI.

Pemilihan karya adalah berdasarkan bidang pengkaryaan dan perekaan. Jawatankuasa juga akan mempamerkan karya lukisan (kertas 2) yang terbaik dari tahun-tahun lepas. Kepada guru-guru seni visual STPM dan pelajar tingkatan 6 saya menjemput datang ke UPSI untuk melihat karya-karya tebaik dan boleh dijadikan panduan dan pedoman.

Friday, March 5, 2010

Bahan Panduan STPM Seni Visual

Majils Peperiksaaan Malaysia telah menyediakan bahan-bahan untuk dimuat turun kepada guru-guru dan calon-calon STPM seni Visual 2010. Bahan-bahan tersebuat adalah dalam bentuk PowerPoint yang telah diedit hasil dari taklimat dan bengkel Jurulatih Utama pada awal Februari yang lepas. Anda bolehlah klik pada laman sesawang http://www.mpm.edu.my/ (Klik pada Peperiksaan - peperiksaan - Bahan Teklimat Seni Visual 2010).

bahan ini adalah untuk memberi panduan kepada guru pembimbing dan calon-calon STPM yang mengambil Seni Visual kertas 3.