Galeri: Pameran Seni Bina Australia
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
:
2010/04/23
KOMBINASI karya seni bina dengan keragaman tema menggunakan pelbagai bahantara dan bentuk memukau pengunjung Pameran Abundant Australia yang diadakan di aras 1, Balai Seni Lukis Negara, Jalan Temerloh off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pameran yang berlangsung sehingga 16 Mei ini adalah kesinambungan Pameran Biennale Seni Bina Antarabangsa ke-11 di Venice, Itali, pada tahun lalu yang memaparkan sifat pelbagai amalan seni bina kontemporari Australia melalui model seni bina. Antara keunikan dan kelainan dalam Abundant Australia yang menampilkan hasil artifak seni bina 15 arkitek Australia terletak pada nada, tafsiran dan kepelbagaian seni bina sezaman Australia, gabungan adaptasi abad ke-9 dan ke-20.
Rooted karya Marsh Cashman dan Lal Lal Cabin oleh Paul Morgan melahirkan kebimbangan mereka terhadap alam sekitar yang membabitkan ekomorfologi hutan dan penggunaan semua bahagian pokok serta kesannya kepada pemikiran seni bina.
Karya kedua-dua arkitek ini menampilkan taman subur dengan artifak seni bina yang dibaja komuniti pelbagai budaya yang semakin membesar dan dikenali dengan perasaan bebas yang sinonim kepada Australia.
Keprihatinan Fairweather Proberts terhadap anggota polis Australia yang terkorban dalam perkhidmatan menerusi National Police Memorial yang menggambarkan tugu peringatan anggota polis melalui warna merah, biru langit dan putih.
Lyons pula meraikan cinta masyarakat Australia kepada sukan dalam Feberge Football melalui objek bola sepak dan ukiran kayu pemukul kriket berwarna merah terang sebagai tanda kecintaan orang Australia terhadap arena sukan.
Warna kuning tanah gurun Australia pula dilihat dalam Sam Miranda Winery, Oxley, Octoria karya Alex Popov selain pengunjung dapat menyaksikan beberapa keunikan perlambangan di Australia melalui karya Bluey yang dihasilkan oleh Kennedy Nolan.
Popov menjelaskan beliau menghasilkan Bluey berdasarkan simbolik perkataan Bluey yang menjadi nama timangan kepada anjing penjaga ternakan yang tersohor di Australia selain bertujuan mendedahkan kepada masyarakat antarabangsa berhubung keunikan simbolik yang jarang diketahui itu.
Antara arkitek lain yang turut terbabit pada pameran yang pasti memberi kepuasan kepada pengunjung ialah Olivia Hyde, Cox Rayner Grimshaw, Denton Corker Marshall, Catherine Lassen, Iredale Pederson Hook dan Sean Godsell.
Info
Pameran Lukisan Abundant Australia
Tempat: Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur
Tarikh: sehingga 16 Mei
No comments:
Post a Comment