Karya terbaik
2010/04/19
50 hasil seni STPM seluruh negara dipamer
SEJUMLAH 50 karya seni visual hasil ciptaan bekas pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dipamerkan di Galeri Seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, selama sebulan berakhir 30 April ini.
Pameran kerjasama UPSI dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bertemakan 'Seni Visual Membentuk Kreativiti dan Inovasi' menyaksikan karya terbaik bekas calon STPM terbaik belum pernah dipamerkan sebelum ini.
Penyelaras Program, Abu Bakar Sabran, berkata karya terpilih untuk dipamer adalah yang mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan STPM dari seluruh Malaysia.
Karya itu membabitkan tema seperti batik, tenunan, seramik, arca, tembikar, ukiran kayu, logam halus, catan dan anyaman.
Beliau berkata, hasil karya terpilih mempunyai nilai tinggi dari segi bentuk, bahan, teknik dan proses penghasilan.
Selain itu katanya, pameran berkenaan boleh dijadikan rujukan kepada calon STPM yang akan mengambil kertas Seni Visual di samping memberi peluang guru dan pensyarah membuat persediaan dalam bimbingan, pemantauan dan penilaian terhadap Seni Visual.
"Masyarakat, ibu bapa, guru khasnya calon STPM yang mengambil subjek Seni Visual digalak hadir menyaksikan karya yang dipamerkan,“ katanya. Beliau berkata program berkenaan mendapat sokongan Persatuan Mahasiswa Seni Visual UPSI itu selaras dengan visi MPM membangun dan mengurus pelbagai bentuk pentaksiran yang menyumbang kepada modal insan berwibawa, versatil dan berdaya maju.
MPM menjadi badan pentaksiran jitu bagi mengukur potensi seseorang insan secara holistik bersesuaian dengan nilai dan norma murni sejagat menjelang 2025.
Sempena pameran itu juga diadakan program bicara seni oleh pensyarah UPSI, Hassan Mohd Ghazali mengenai Pentaksiran Seni Visual STPM; Dr Roskang Jailani (Lukisan Folio).
Muriza Mustafa (Hiasan Dalaman); Dr Mohd Fauzi Sedon (Catan); Prof Dr Mohd Mustafa Mohd Ghazali (Seni Visual STPM); Abu Bakar Sabran (Rekabentuk Kraf) dan Amir Hashim (Grafik).
No comments:
Post a Comment