Monday, January 11, 2010

Pameran 18@8: 1Malaysia, Di Sebalik Kanvas

Saya tertarik dengan imej dan penyampaian pelukis-pelukis muda dalam memperkayakan penampilan gaya pelukis. Ini adalah penulisan Rashiqah Ilmi Abd Rahim dalam Berita Harian Jumaat lepas dengan tajuk Pameran 18@8: 1 Malaysia disebalik Kanvas



HASANOL

13 pelukis bergabung luah resam hidup rakyat pelbagai kaum

KARYA berkonsepkan 1Malaysia hasil gabungan 13 pelukis mapan dan bakat baru dapat disaksikan di Pameran 18@8: 1Malaysia, Di Sebalik Kanvas di Wei Ling Gallery, Jalan Scott, Brickfields, Kuala Lumpur bermula 7 Disember lalu hingga 1 Januari ini.

Kepelbagaian gaya, penggunaan bahan dan latar pengalaman pelukis dalam meluahkan pemerhatian terhadap warna-warni kehidupan masyarakat mendorong khalayak memberi perhatian kepada karya mereka untuk dihayati.

Zulkifli Yusoff dalam karyanya, Kereta Lembu, Lanca dan Bas, yang menggunakan kayu meranti cuba menggambarkan kepentingan kenderaan awam seperti kereta lembu, lanca atau beca dan bas dalam penyatuan kaum kerana digunakan pelbagai kaum.


“Saya sengaja memilih tiga kenderaan ini bagi menunjukkan walaupun kehidupan semakin moden tetapi kenderaan masih alat pengangkutan sama yang digunakan setiap bangsa dalam menjalani kehidupan seharian, sekali gus melaluinya, mereka bertemu dan saling mengenali,” katanya.

Lewat The Speech, Yau Bee Ling pula menggunakan cat minyak untuk karyanya yang menampilkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin bertanggungjawab memperkenalkan konsep 1Malaysia, manakala penggunaan pelbagai warna pula sebagai simbol penyatuan kaum.

ROADBLOK oleh Mun Kao.

Semangat perpaduan di negara ini menjentik naluri keseniannya sehingga mendorong pelukis itu merakam kembali ucapan Perdana Menteri bagi melahirkan perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.

“Saya harap masyarakat tidak sekadar menjadikan karya ini sebagai tatapan semata-mata, sebaliknya dapat menghayati mesej yang ingin saya sampaikan, iaitu 1Malaysia ialah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat,” katanya.

Di tangan Mun Kao, sisi eksperimental tampak berbaur dan berlapis sehingga melahirkan Roadblock yang berkonsepkan semangat patriotik yang ditonjolkan melalui perwatakan individu berbangsa Melayu, Cina dan India.

“Lukisan saya berkonsepkan perpaduan apabila wajah tiga kaum ditampilkan secara tidak terpisah daripada kehidupan masyarakat di negara ini, yang diwakili rakyat pelbagai kaum.

THE Elephant Man oleh Jeganathan Ramachandram.

“Imej individu yang mengibarkan bendera Malaysia dalam keadaan bangga pula menunjukkan setiap kaum berpuas hati dengan asas konsep 1Malaysia,” katanya.

Sepuluh lagi pelukis yang turut menjayakan pameran terbabit ialah Anurendra Jegadeva, Chee Way, Hasanul Idris, Haslin Ismail, Ivan Lam, Jeganathan Ramachandram, Umibaizurah Mahir, Kim Ng, Nor Azizan Paiman dan Sabri Idrus.

INFO PAMERAN:

PAMERAN 18@8: 1Malaysia, Di Sebalik Kanvas

Lokasi: No 8, Wei Ling Gallery, Jalan Scott, Brickfields, Kuala Lumpur

Pelukis: 13 pelukis

Tarikh: 7 Disember hingga 1 Januari


No comments:

Post a Comment