Pelantikan guru Tingkatan Enam perlu disegerakan
Oleh: Rosniza Mohd Taha
SEBANYAK 767 sekolah menengah kebangsaan dan swasta yang menawarkan Tingkatan Enam sepatutnya sudah melantik guru penolong kanan dan kokurikulum serta tenaga pengajar bagi memulakan proses transisi penjenamaan semula pengajian peringkat prauniversiti itu.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Zulkifly Mohd Wazir, berkata pelantikan itu antara perkara utama disenaraikan Kementerian Pelajaran dalam Garis Panduan dan Tanggungjawab Guru Akademik Tingkatan Enam dikeluarkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia pada Mei lalu.
Dengan pelantikan itu, katanya, perancangan serta pelaksanaan perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dilaksanakan segera membabitkan pelajar Tingkatan Enam Bawah.
Beliau berkata, antara perubahan tugas guru Tingkatan Enam adalah waktu mengajar 22 hingga 30 waktu seminggu membabitkan aktiviti akademik, kokurikulum, penyelidikan/konsultasi dan kolokium.
Turut disenaraikan tugas luar bilik darjah/ tanpa interaksi dengan pelajar sebanyak 15 waktu seminggu membabitkan aktiviti persediaan, penyelidikan, penilaian dan pentaksiran serta penggubalan item.
“Walaupun pelaksanaan sistem modular/semester menggantikan sistem terminal dijangka bermula 2011, beberapa langkah dan perubahan awal perlu dilaksanakan sebagai usaha penjenamaan semula Tingkatan Enam secara berperingkat.
“Kementerian menjangkakan lebih 700 sekolah menawarkan pengajian prauniversiti ini, sekurang-kurangnya sudah melantik guru berkaitan supaya perubahan tugas disenaraikan dalam Garis Panduan dan Tanggungjawab Guru Akademik Tingkatan Enam dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau mengulas rungutan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati kerana ada segelintir sekolah masih belum memulakan proses transisi penjenamaan semula Tingkatan Enam antara lain membabitkan pertambahan waktu mengajar hingga ke petang bagi melaksanakan aktiviti tambahan seperti tutorial.
Zulkifly menjelaskan peningkatan waktu mengajar membabitkan waktu pengajaran dala kelas sebanyak 16 hingga 24 waktu seminggu, kokurikulum (dua waktu), penyelidikan/konsultasi (dua waktu) serta kolokium (dua waktu).
Bagi kokurikulum, katanya, guru bertanggungjawab menguruskan aktiviti persatuan/kelab, unit beruniform atau sukan/permainan, sementara penyelidikan/ konsultasi memerlukan guru membimbing pelajar membuat kajian dan penyelidikan serta mengakses maklumat secara elektronik dan bercetak. Menerusi kolokium pula, beliau berkata, guru berperanan memberi komen dan ulasan mengenai pembentangan hasil kajian dan penyelidikan pelajar. “Tidak dinafikan pertambahan aktiviti ini menuntut pengorbanan guru untuk bekerja lebih masa hingga ke petang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment