Beliau berkata, sumbangan besar dari hasil melalui kegiatan seni tidak harus disekat, bahkan ia sepatutnya disuburkan bagi menggalakkan penglibatan masyarakat khususnya golongan belia yang pada usia mereka gigih mencari pelbagai inspirasi.
Abdul Khalid berucap merasmikan Pameran Pelukis Selangor 2010 di Galeri Shah Alam dekat sini petang semalam. Teks ucapannya dibacakan oleh setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Perkembangan atau kemajuan sesebuah negara atau negeri turut didorong oleh percambahan minda atau fikiran yang terhasil daripada kerancakan aktiviti seni yang mencetuskan kreativiti serta pemikiran kritis yang seterusnya menyumbang terhadap perubahan kebudayaan, ekonomi dan politik.
“Pemikiran kreatif yang diilhamkan melalui kreativiti penulisan terbukti berjaya melahirkan ramai tokoh pemikir di dunia Barat dan di rantau Asia Tenggara.
“Ia mampu mempengaruhi rakyat untuk bangun memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman serta membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan marhaen. Umpamanya, revolusi Peranchis dan kebangkitan rakyat Indonesia menentang kezaliman Belanda yang diilhamkan lewat sajak-sajak dan karya seni lainnya pada zaman itu,” tegasnya lagi.
Oleh itu, jelasnya, penglibatan karyawan seni visual sama ada amatur mahupun tersohor di seluruh pelosok Negeri Selangor diharap bakal berkampung pada pameran yang menyusul.
“Saya yakin masih ramai penggiat seni yang tidak mempunyai peluang dan ruang untuk menyertai pameran kali ini, berkemungkinan permintaan untuk mereka menghantar karya-karya terbaharu membatasi hajat mereka untuk mempamerkan hasil ciptaan masing-masing,” sarannya lagi.
Pameran kali kedua ini diadakan sejajar dengan penubuhan Yayasan Seni Selangor dan selari dengan usaha Galeri Shah Alam menggiatkan aktiviti seni visual khususnya di Negeri Selangor. Seramai 38 karyawan seni terlibat dengan lebih 60 hasil karya dipamerkan.
Antara mereka adalah pelukis Abdul Ghafar Ibrahim dengan lukisan bertajuk Lalat, Abu Bakar Sabran (Mantan), Ahmad Kamarul Bahri Shan (Untitled), Ainal Fuadi Md Said (White Noise), Chia Seng Chai (Momento), Haron Mokhtar (Di celah Pohon Getah), Hashim Hassan (Daun-daun Berguguran), Mohd Aris Atan (Az-Zukhruf: 32), Mohd said Abu (Mencari di Hutan Rimba) dan Shahril Awang (Segala Pujian Hanya Pada Allah).
Abdul Khalid menambah, dengan adanya kerjasama antara pihak yang berkepentingan dalam bidang seni ini, persatuan pelukis dan penggiat seni lainnya seharusnya menggiatkan aktiviti seni bukan sahaja berbentuk pameran tetapi menggerakkan program pendidikan seperti bengkel, seminar dan karnival seni yang boleh disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Pihak kerajaan negeri , ujarnya, berhasrat supaya Galeri Shah Alam dapat mengembangkan lagi aktiviti dan menambah bilangan penyertaan karyawan seni negeri Selangor khususnya.
“Saya yakin karyawan seni tempatan mampu menghasilkan karya seni bermutu dan bakal menjadi bahan apresiasi serta sebutan sepanjang zaman. Sebagai insan kreatif, rutin menghasilkan karya bisa mempertingkat kemahiran psikomoto dan pemikiran sejajar dengan pembangunan teknologi, ekonomi dan sosio budaya masyarakat tempatan mahupun antarabangsa,” tegasnya.
Oleh: Ismail Hashim (dalam:harakahdaily)
No comments:
Post a Comment