Wednesday, May 5, 2010

Galeri seni UiTM di Melaka

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2010/05/05

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) merancang menubuhkan galeri seni di Melaka bagi memberi ruang kepada pelajar institusi pengajian tinggi itu menjalankan kegiatan mereka dengan lebih selesa, sekali gus dapat menjual karya masing-masing kepada orang ramai terutama pelancong luar negara.

Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata menerusi langkah itu juga, pihaknya berharap ia mampu memartabatkan karya pelukis muda Melayu termasuk pada peringkat antarabangsa, di samping mendekatkan masyarakat dengan hasil seni anak tempatan dan sekali gus membantu industri pelancongan di Melaka.
“Pada sesi perbincangan, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob sudah menyatakan persetujuan dan berharap galeri itu ditubuhkan secepat mungkin. Setakat ini kami merancang untuk membinanya di Bandar Hilir. Melaka sememangnya berpotensi dalam membangunkan kegiatan seni lukis berdasarkan faktor sejarah dan budayanya.

“Selain Melaka, universiti juga berkemungkinan besar akan menubuhkan galeri yang sama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tidak lama lagi," katanya selepas majlis perasmian Pameran Diploma Seni Lukis dan Seni Reka - Ilham 5, 2010 di Galeri Seni Rakyat, Bandar Hilir, Melaka semalam.

Pameran selama seminggu yang disertai 126 pelajar semester akhir Diploma Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) UiTM itu dirasmikan Mohd Khalil dan hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad; Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Hamdin Abdullah dan Pengarah UiTM negeri, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam.

Prof Sahol berkata, usaha pelajar menganjurkan pameran itu perlu dipandang tinggi kerana ia secara tidak langsung dapat melahirkan ramai penggiat seni lukis dan pereka muda baru dan aktiviti itu juga membuktikan galeri seni lukis berbentuk komersil turut perlu diberi kepentingan dan tidak membeza-bezakan golongan muda seperti mereka.

“Selain membantu pelajar menjual karya, pameran ini menjadi pentas yang baik untuk mendekati dan mendalami pelbagai karya seni seperti catan, arca, seni cetak, fotografi dan reka bentuk grafik. Sokongan Yang di-Pertua Negeri Melaka akan menaikkan lagi semangat kami untuk terus berkarya selain boleh dimanfaatkan pengunjung dalam dan luar negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment