Sunday, June 20, 2010

melahirkan murid invotif asas jadi generasi holistik

Matlamat pembelajaran bukan lulus cemerlang
Berita Harian 2010/06/21



ISU mengenai kedudukan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) timbul semula apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membayangkan kemungkinan dua peperiksaan itu dimansuhkan. Beliau melihat ada kewajaran pemansuhan itu kerana aspek pembelajaran ketika ini lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

“Kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM saja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh, semalam. Cadangan terhadap pemansuhan UPSR dan PMR ini bukan perkara baru, sebaliknya sentiasa timbul apabila ada perbincangan mengenai keberkesanan sistem pendidikan kebangsaan dalam melahirkan generasi cemerlang. Satu daripada cadangan ialah menggantikan UPSR dan PMR dengan Sistem Penilaian Pendidikan Kebangsaan (NEAS).

Pada Mei 2007, Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk membuat ketetapan terhadap cadangan memansuhkan dua peperiksaan itu. Kementerian Pelajaran, katanya, masih lagi dalam proses menilai pilihan terbaik jika mahu berbuat demikian.

“Salah satu cara ialah membandingkan sistem pendidikan kita dengan negara jiran sebelum memansuhkan peperiksaan ini,” katanya sambil menambah, perbincangan peringkat demi peringkat dilakukan sebelum kerajaan memutuskan untuk memansuhkan peperiksaan berkenaan.

Pada Julai tahun lalu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim menyarankan UPSR dimansuhkan kerana ia hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan menerusi peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh.

Cadangannya itu turut mendapat sokongan Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, yang percaya langkah itu dapat mengelak murid kurang kebolehan terus tertinggal jika peperiksaan setara pada peringkat pusat diteruskan.
Muhyiddin semalam pula berkata, jika peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan, ia hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar pada peringkat sekolah, bukannya sebagai peperiksaan awam. Secara peribadi beliau berpendapat perlu ada satu peperiksaan awam saja bagi menilai pencapaian pelajar, iaitu pada peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi.

Muhyiddin memberi jaminan Kementerian Pelajaran tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan semua pihak mengenai perkara itu.

Isu mengenai pendidikan sentiasa dekat di hati rakyat bukan semata-mata ia secara langsung membabitkan mereka, tetapi kerana sistem pendidikan yang bakal menentukan masa depan negara. Sama ada bersetuju atau tidak UPSR dan PMR dimansuhkan, perkara yang kita harus akui masyarakat hari ini berusaha sedaya upaya untuk memastikan anak lulus cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan itu.

Jika dulu calon peperiksaan hanya menghadiri kelas tambahan yang disediakan sekolah beberapa minggu menjelang peperiksaan, kini sudah menjadi kemestian anak dihantar ke pusat tuisyen sejak Tahun Satu lagi bagi memastikan mereka mendapat semua A dalam UPSR dan kemudian PMR. Malah, ada sekolah dan negeri tertentu menumpukan perhatian khusus bagi mengekalkan rekod kecemerlangan dari segi pencapaian akademik murid sehingga mengabaikan aspek sosial dan kesukanan.

Kita tidak tahu sama ada ribuan murid yang lulus cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan itu terus cemerlang dalam kerjaya mereka atau sebaliknya. Apa yang kita pasti, sejak beberapa tahun lalu, amat sukar bagi industri tertentu mendapatkan pekerja baru, walaupun lulus cemerlang sukar memiliki kelayakan sesuai.

Industri media dan komunikasi misalnya, bukan saja menghadapi masalah dalam mendapatkan graduan Melayu fasih berbahasa Inggeris, malah berkomunikasi dengan baik. Anehnya, kebanyakan mereka dipanggil untuk ditemuduga berdasarkan kelulusan cemerlang atau melebihi paras biasa pada diploma atau ijazah masing-masing. Bagi menghadapi fenomena ini, industri terpaksa memperkenalkan kursus khas bagi melengkapkan graduan ini dengan aspek keyakinan diri, komunikasi dan kemahiran berbahasa.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna ujian tidak diperlukan lagi. Peperiksaan perlu untuk menilai pencapaian seseorang pelajar, tetapi matlamat pembelajaran tidak seharusnya bertumpu kepada lulus cemerlang semata-mata.

Yang lebih penting ialah bagaimana mahu melahirkan murid yang lebih kreatif dan inovatif, sebagai asas mewujudkan generasi bersifat holistik. Kita bukan saja mahu generasi cemerlang dalam akademik, tetapi juga yang mempunyai jati diri, sahsiah dan akhlak mulia sekali gus mampu menghadapi pelbagai cabaran masa depan.

Justeru, yang perlu dipersoalkan bukannya UPSR dan PMR dimansuh atau tidak, tetapi sama ada dasar dan strategi pendidikan kebangsaan sekarang benar-benar boleh melahirkan satu bangsa Malaysia seperti diimpikan menerusi Wawasan 2020. Tidak kurang pentingnya ialah sistem pendidikan kita tidak harus menjadi modal politik kelompok dan golongan tertentu.

No comments:

Post a Comment