Tuesday, June 15, 2010

Kurikulum Baru Pendidikan Seni Visual....



Semenjak pengumuman Menteri Pelajaran Malaysia mengenai Kurikulum Baru yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan menggantikan kurikulum KBSM yang ada sekarang, ramai guru-guru ternanti-nanti apakah perubahan ini melibatkan banyak pertukaran, terutama dari segi kandungan.

Pembentangan RMK-10 baru-baru ini melibatkan penstrukturan dalam Kemeterian Pelajaran yang memerlukan suatu perubahan ke arah menjana keperluan kreatif dan inovatif, maka Datuk Seri Mahyuddin Yassin telah mengumumkan bahawa kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah dalam bentuk modular yang mementingkan pencapaian kreatif , ivoatif dan keusahawanan akan diperkenalkan.

Terfikir saya tentang kurikulum Pendidikan Seni Visual KBSR dan KBSM yang sekarang digunapakai disekolah akan dirombak dan disesuaikan dalam bentuk modular. Sebenarnya semasa saya terlibat dalam pembinaan kurikulum itu sejak tahun 1997 hingga tahun 1999 kemudiannya terlibat dalam panel membuat Huraian Sukatan PSV dan Buku Sumber PSV banyak perkara-perkara penting perlu difikirkan sebagai pelaksana dan tanggungjawab untuk mempertingkatkan mutu kurikulum PSV. Pada masa itu saya masih mentah dan tidak banyak buku-buku pemikiran pendidikan seni yang saya baca, hanya buku-buku teknik dan cara menghasilkan karya sahaja yang di baca. Itu pun beberapa perkara yang saya ketengahkan telah diterima dan dipakai dalam kurikulum PSV yang ada sekarang. Antaranya: Bidang Komunikasi Visual sebelum disebut sebagai Grafik... Komunikasi Visual melibatkan bidang Grafik, Multimedia dan Animasi... saya masih ingat terdapat beberapa panel yang menentang akhirnya mereka akur setelah Prof. Dr. Shukur menyokong saya.

Juga saya masih ingat ada panel yang mahu 'membuang' bidang-bidang yang dianggap tradisional seperti Kaligrafi dan Kraf kononnya hendak digantikan dengan tajuk lain yang lebih terkini.. masa itu saya membantah, akhirnya disokong oleh beberapa guru, bantahan saya diterima. Akhir sekali ialah cadangan saya untuk memasukkan bidang komputer grafik - multimedia dalam komponen Komunikasi Visual... terdapat panel yang menolak atas alasan tidak sesuai dalam PSV. Semasa saya tidak dapat hadir dalam satu mesyuarat panel di Ipoh, keputusan menolak bidang multimedia dalam komponen PSV. Namun, saya terus berjumpa Ketua bidang Pn. Syarifah (pada masa itu) dan En. Mat Desa (penggerak kurikulum PSV KBSM) agar semasa mesyuarat pemurnian saya ingin membentangkan kepentingan bidang ini dalam PSV... Alhamdulillah, cadangan saya diterima pada mesyuarat pemurnian di Perlis. Hingga cadangan itu mendapatkan 2 buah komputer dan printer untuk bilik seni di sekolah-sekolah kini.

Apa yang saya katakan di atas itu ialah, Bahagian Kurikulum perlu memikirkan perlantikan panel penggubal perlu dipilih dikalangan orang yang benar-benar berilmu dalam Seni Visual, kerana keputusannya nanti akan melibatkan bidang ini sebagai bidang yang boleh diterima dan dapat memenuhi inspirasi keperluan semasa.

Sebenarnya banyak perkara perlu dikaji semula dalam kurikulum PSV yang ada sekarang, terutamanya dari segi pelaksanaan. beberapa aspek yang perlu difikirkan antaranya:

1. Kandungan Asas Seni Reka - perlu dirombak berdasarkan beberapa buku ilmiah terkini.
2. Pembahagian bidang-bidang untuk setiap tingkatan
3. Penilaian dan pentaksiran berasaskan sekolah perlu difikirkan menggunakan kaedah rubrik dengan menekankan pentaksiran autentik.
4. Mengadakan buku teks yang berpaksikan kepada kesahihan maklumat dalam PSV
5. Model DBAE sebaiknya digunakan sebagai asas perancangan pembinaan kurikulum.
6. Bidang kritikan seni sebaiknya digunakan dalam apresiasi dan penilaian seni visual.
7. Setarakan keperluan reka bentuk yang dimulai diajar pada tingkatan 1 lagi.
8. Penilaian formatif dan sumatif dalam PSV harus setara dengan bidang-bidang lain.

Banyak lagi yang saya fikirkan untuk membentuk kurikulum baru PSV. Suatu yang penting ialah OBL yang hendak dicapai dalam pembelajaran PSV perlulah bermatlamatkan pelajar dilahirkan sebagai insan yang boleh berkreatif, inovatif melalui eksporasi dan eksperimen terhadap sesuatu aktiviti seni visual.

Sebenarnya panel Kurikulum Seni Visual STPM baru saja menyiapkan kurikulum berasaskan modular yang akan dilaksanakan pada tahun 2011 nanti. Baru-baru ini Prof. Dr. Mustafa, Dr. Abu Talib dan saya telah meneliti dan sedikit membuat pemurnian kurikulum itu. Penelitian dan berbincangan hingga kelarut malam untuk memastikan kurikulum ini dapat membentuk pelajar STPM yang mempunyai kekuatan dari aspek keterampilan melukis, berkarya, berkreatif dan inovatif melalui kaedah penyelidikan.

Harapan, agar kurikulum PSV akan dibina dan dapat menyegarkan PSV sebagai matapelajaran yang setara dengan matapelajaran penting yang lain.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment