Wednesday, June 10, 2009

Penghasilan Seni Visual STPM

Pengenalan

 

Kertas 970/3 adalah merupakan kertas penghasilan karya untuk calon sekolah yang mengambil mata pelajaran Seni Visual di peringkat STPM. Kertas ini menguji kemahiran calon untuk menghasilkan sebuah karya seni visual dalam bentuk pengkaryaan dan perekaan. Melalui bimbingan guru seni visual, calon akan melaksanakan projek berdasarkan pemilihan soalan yang telah dihantar oleh MPM pada awal Januari. Sepanjang lapan bulan (Februari hingga September)calon yang dibimbing oleh guru seni visual membuat projek yang dipilih berdasarkan soalan dari MPM. Aspek penting yang diberi penekanan ialah aspek penerokan idea, penghasilan karya @ produk dan pendokumentasian projek.

 

Oleh yang demikian pemilihan soalan oleh calon dalam kertas ini perlu dibincang bersama dengan guru pembimbing agar kepakaran guru pembimbing dapat membantu ke arah penghasilan yang baik. Kertas ini akan dinilai secara pendekatan pengujian authentic. Justru itu hasil kerja portfolio dan hasil karya perlulah memenuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. Beberapa perkara asas perlu dihalusi oleh guru pembimbing sebelum memulakan penghasilan projek penghasilan karya antaranya:

 

  1. Arahan Kertas Soalan
  2. Tanggungjawab Guru Seni Visual
  3. Tanggungjawab Pengetua
  4. Penghantaran Portfolio dan Hasil Karya
  5. Arahan Penyedian Projek Penghasilan Karya.

 

Prosedur penghasilan

Secara umum kertas ini adalah dibuat secara amali di sekolah, oleh itu keakraban antara calon (pelajar) dan guru seni visual (Pembimbing) adalah perkara yang sangat penting. Bagi calon, mereka sangat mengharapkan guru pembimbing membantu mereka dari aspek teori dan amali pengajaran seni visual.

Sebenarnya kertas penghasilan karya seni visual STPM memerlukan pelajar atau calon berpengetahuan dan berkemahiran dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif. Tanpa ketiga-tiga domin ini, portfolio dan penghasilan tidak dapat dilakukan dengan baik.

Sebagai contoh, soalan Nombor 1 (Pengkaryaan). Soalan tersebut berkehendakkan calon menghasilkan karya bertemakan ‘Gelombang’.  Aspek kognitif: calon perlu mencari sumber maklumat mengenai gelombang, samada melalui pembacaan, pencarian maklumat dari internet, perbincangan dan sebagainya. Aspek teori dari segi makna dan nilai kreatif juga perlu dititik beratkan melalui kajian maklumat dan kajian visual. Aspek Psikomotor (kemahiran): calon perlu mahir tatacara melukis dan membentuk (Ketukangan) dengan menggunakan media dan teknik bagi menghasilkan sebuah karya 2D yang bertemakan ‘Gelombang’ tersebut. Aspek Afektif (Nilai); colon perlu menyiapkan portfolio dan hasil karya dengan kemas dan kreatif. Persoalannya, aspek pembelajaran seni visual adalah pokok utama yang perlu ditegaskan sebelum memikirkan aspek-aspek yang lain.

 

Pengetahuan aspek organisasi penghasilan

Kelaziman berlaku apabila calon menghasilkan karya seni visual akan memikirkan bagimana cara penghasilan?, apakah bahan yang hendak digunakan?, dan apakah cara teknik dibuat?. Antara lain yang menjadi persoalan awal ialah:

  1. Memecahkan persoalan tema dan kehendak soalan,
  2. Olahan  idea dan pengolahan karya,
  3. Penentuan bahan dan teknik,
  4. Kemasan dan Persembahan.

Sebenarnya, penghasilan sebuah karya seni visual memerlukan banyak aspek lain yang memerlukan perbincangan antara calon dan guru pembimbing. Antara lain ialah mengetahui faktor tersirat karya dan faktor tersurat karya seni visual sebagai cantuman kekuatan berkarya. Antara perkara inplisit dan ekplisit yang perlu diketahui dalam penghasilan sebuah karya ialah:

Faktor tersirat:

i.                Nilai estetik (merangkumi niali kreativiti)

ii.               Nilai makna

iii.              Nilai konteks

iv.             Nilai emosi

v.              Pengaruh

Faktor tersurat:

i.                Media dan teknik

ii.               Kemahiran penghasilan

iii.              Fungsi

iv.             Kemasan

v.              Peragaan dan persembahan

 

Langkah-langkah penghasilan

  1. Penghasilan pengkaryaan

Proses penghasilan karya akan bermula dengan suatu tema atau tajuk. Bermula dari permasalah tema maka calon akan bekerja mencari idea bagi merealisasikan sebuah karya. Pada peringkat awal  proses mengumpul maklumat dan visualisasi adalah langkah kearah mendapatkan idea sebenar. Disamping itu pemetaan konsep yang kreatif sangat penting dalam proses visualisasi. Paling penting adalah penentuan media dan teknik untuk disesuaikan dengan gubahan. Proses gubahan karya pula perlu menggambil kira elemen-eleman bahasa seni visual. Di bawah ini adalah rajah proses penghasilan pengkaryaan.

 

  1. Penghasilan Perekaan

Pelbagai cara yang sesuai untuk menghasilkan sesuatu karya perekaan. Dalam perekaan kemahiran penghasilan adalah berbeza mengikut bidang. Bidang Grafik dan multimedia berbeza cara penghasilan dengan bindang reka bentuk. Perbezaan penghasilan reka bentuk industri pula berbeza dengan reka bentuk persekitaran. Oleh yang demikian guru seni visual sebagai pembimbing perlu penguasai kemahiran bidang-bidang tertentu untuk mastikan cara bimbingan kepada colon akan berlaku dengan betul. Di sini ditunjukkan beberapa cara produksi pengurusan yang bersistematik untuk mendapatkan produk akhir yang baik. Sebagai contoh ditunjukkan bagimana sebuah firma ‘Flo Design Consultancy’ (Laura Slack, 2006) mengorganisasikan penghasilkan produknya. Langkah-langkah penghasilan produknya adalah sebagai satu cara langkah-langkap proses perekaan yang bersistematik. 

 

Namun demikian secara umumnya proses penghasilan perekaan lebih tertumpu kepada permasalahan sosial dan pengguna. Bertolak dari situ pereka akan membuat penyelidikan dan mencari maklumat untuk menyelesaikan melalui reka bentuk yang boleh diterima oleh masyarakat atau pengguna. Contoh di atas dapat sedikit sebanyak membantu proses penghasilan perekaan sebagai menjawab soalan penghasilan perekaan. Cara umumnya  proses reka bentuk reka bentuk  industri atau reka bentuk automobil adalah melalui proses seperti rajah 3.  

Dalam bidang reka bentuk grafik, proses penghasilan berbeza sedikit dari reka bentuk industri dan reka bentuk persekitaran. Antara elemen penting dalam proses reka bentuk grafik ialah lakaran kenik (Thumbnils) dan Lukisan Komprehensif sebagai kerja terakhir sebelum proses percetakan. Aspek kebersihan, kehalusan kerja dan persembahan yang kreatif sangat dititikberatkan dalam karya komprehensif. Media dan teknik pelukisan dalam grafik memerlukan kemahiran khusus, dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa proses akhir kerja grafik memerlukan penggunaan perisian grafik komputer seperti grafik vektor dan grafik bitmap.

 Penutup

 

 Kertas 970/3 merupakan kertas amali untuk calon persekolahan yang diberi penekanan dalam proses penghasilan karya sepanjang lapan bulan. Guru pembimbing Seni Visual memainkan peranan penting sebagai pembimbing dan penilai utama. Aspek teori dan amali perlu diberi penekanan sepanjang proses dalam penghasilan. Portfolio adalah merupakan dokomentasi penghasilan karya dan sebagai bahan bukti proses teori dan amali berjalan dengan baik.

No comments:

Post a Comment