Wednesday, February 9, 2011

Perang Harga Pelukis Malaysia

‘Perang’ harga pelukis Malaysia
Oleh Hafizah Iszahanid
Berita Harian
2011/02/09

Belum ada nama, tapi karya dijual mahal hingga veteran rasa tercabar

THE Dream karya Allahyarham Ibrahim Hussein mencatat rekod sebagai karya seni termahal pernah dijual pada majlis lelongan awam tahun lalu apabila karya pelukis tersohor terbabit berjaya mencecah harga RM500,500.

Henry Butcher Art Auctioneers Sdn Bhd membuat bidaan tertinggi untuk karya menggunakan bahantara arkilik berukuran 121 sm x 121 sm dan terdahulu pada 2007, karya Ibrahim, Falcon, dijual di Sotheby Singapura pada harga RM236,736 (S$102,000).

Namun, perjalanan seni Ibrahim bukanlah singkat dan bermula secara rasminya pada 1956 apabila menuntut di Akademi Seni Nanyang di Singapura, lalu membayar ratusan ribu ringgit untuk sebuah karya pelukis terbabit sebenarnya amat berbaloi.
Sebenarnya, harga lukisan yang mencecah puluhan ribu dan ke atas banyak bergantung kepada kredibiliti dan kerja seni itu sendiri, tetapi bagi pelukis muda atau baru, meletakkan harga hingga RM10,000 untuk sebuah karya dianggap melampau, apatah lagi jika karya mereka ‘biasa-biasa’ saja.

Bagi Pengurus Galeri Pelita Hati, Raja Annuar Raja Siffudin, selama 16 tahun menggauli dunia seni halus, kemeriahan dunia seni halus sebenarnya terhad dalam kelompok tersendiri, meskipun seni halus diminati ramai orang.

Dalam masa sama, menjadikan karya seni sebagai suatu pelaburan masa depan, masih lagi tidak difahami ramai, selain sesetengah pelukis muda meletakkan harga yang terlalu mahal untuk karya mereka.

“Karya seni di Malaysia mahal berbanding Indonesia atau Filipina. Selalunya pembeli akan fikir, mengapa dia perlu bayar sejumlah harga untuk karya artis Malaysia yang tidak dikenali sedangkan mereka boleh membeli lukisan dari luar negara pada harga setara dan oleh pelukis ternama,” katanya.
Raja Annuar yakin bahawa senario itu terjadi disebabkan segelintir artis muda ingin cepat popular dan memilih jalan pintas, seolah-olah lupa bahawa artis tersohor yang mendapat di hati peminat seni bermula dengan karya yang dijual pada harga berpatutan.

“Tiada jalan pintas untuk berjaya. Artis tersohor macam Yusuf Ghani pun memulakan perjalanan sebagai pelukis dengan karyanya dijual pada harga RM600. Namun, kita tidak boleh menyalahkan artis muda ini sepenuhnya, mungkin mereka tidak tahu,” katanya.

Baginya pelukis muda ibarat graduan yang baru tamat belajar dan tidak mungkin gaji yang diterima terus cecah RM10,000, lalu adalah wajar karya bermula pada harga lingkungan RM1,000 ke RM2,000, sebelum harga dinaikkan secara berperingkat.

“Pelukis mengambil masa lama untuk dikenali dan karya dihargai. Ada yang mengambil masa antara 20 ke 40 tahun. Kalau sudah ada nama, letak puluh ribu pun orang sanggup beli. Pelukis tersohor seperti Ahmad Zaki (Anwar) atau Latiff Mohidin, lukisannya sudah ditempah sebelum siap,” ujarnya.

Sastera diberitahu, kebanyakan yang membeli karya artis Malaysia adalah rakyat Malaysia dan ada yang menghimpun koleksi terbaik seseorang artis, selain selalunya mereka akan pilih karya artis tempatan kerana sanggup melabur.

Bagaimanapun, apabila ada segelintir artis muda meletakkan harga tinggi untuk lukisan mereka, artis lama rasa tercabar sehingga berlaku situasi perlumbaan ‘meletak harga’, sedangkan hasil kerja tidak sehebat mana.

“Cuba lihat karya Ibrahim dan tanya mengapa orang sanggup melabur ratusan ribu ringgit untuk karyanya? Selain reputasi dan nama, hasil kerjanya sangat teliti. Beliau bukan dapat semua itu pada usia 25 tahun. Macam saya kata tadi, tidak ada jalan pintas untuk berjaya,” jelasnya.

Dalam menentukan harga pada karya, selain pelukis, galeri juga bertanggungjawab untuk memutuskan harga akhir, namun ada banyak perkara yang dinilai sebelum sesebuah lukisan itu diambil mana juga galeri.

Umumnya, ada beberapa ciri yang diutamakan oleh galeri dan antaranya karya mestilah unik, asli dan sesuatu yang boleh menjadi jati diri pelukis terbabit, selain bahan yang digunakan boleh tahan lama lagi bermutu..

Bagi pelukis dan pensyarah seni halus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Yakup Mohd Rafee, isu harga tinggi subjektif kerana nilai RM1000 bagi sesebuah karya catan minyak berukuran 3’x2’ mungkin mahal bagi orang biasa, tetapi murah berbanding pasaran semasa, apalagi antarabangsa.

“Berdasarkan senario pasaran di Malaysia ketika ini, artis muda sepatutnya tidak terlalu ghairah untuk meletakkan harga tinggi kerana apa yang lebih penting ialah mencipta nama dan mencari identiti tersendiri bagi karya mereka terlebih dulu,” ujarnya.

Selain itu, artis muda juga perlu bijak mencuri peluang meletakkan karya di mata masyarakat dengan menyertai pameran dan tidak rugi bermula pada harga rendah, tetapi karya diterima baik kerana secara tidak langsung, nilai karya akan meningkat selari dengan masa dan penerimaan orang ramai.

Pelukis Mohd Hairi Yaakub pula berpendapat, apa yang terjadi hari ini ialah ramai pelukis muda tidak berada dalam bingkai masa yang betul, lalu meletakkan harga karya mereka mengikut pasaran antarabangsa atau negara jiran sedangkan masyarakat Malaysia belum bersedia.

“Kalau dibandingkan dengan Filipina, Indonesia atau Singapura, kita masih ketinggalan kerana masyarakat belum bersedia menerima karya post modernisme yang dibawa segolongan pelukis muda, selain masyarakat kita masih lagi terikat dengan gaya konvensional, abstrak atau minimal.

“Pelukis muda pula kebanyakannya lulusan universiti dan semacam ada kefahaman, jika keluar universiti mesti buat post modern dan menolak konvensional. Justeru, harganya diletakkan tinggi, tetapi saya tidak menyalahkan mereka kerana mungkin itu yang dipelajari di universiti,” katanya.

Justeru, tidak hairan ada pelukis yang belum tamat pengajian meletakkan harga karya mereka hingga RM35,000 dan mungkin akan ‘kaya’ kerana harga yang sebegitu tinggi, namun secara tidak langsung ia menjarakkan masyarakat dengan seni.

Hairi turut melihat sesetengah galeri bertindak seperti parasit, dengan kadar sewa mencecah RM1,000 sehari dan mengambil komisen keuntungan sehingga 45 peratus, sedangkan pelukis tidak punya pilihan bagi menampung kos, lalu meletakkan harga tinggi untuk lukisan mereka.

Pelukis Mohd Zulwawi Hashim pula kurang bersetuju dengan dakwaan itu dengan alasan bukan semua pelukis muda meletakkan harga tinggi dan ada kala nilai karya dipengaruhi galeri atau orang tengah bagi menampung kos pemasaran, penyediaan katalog serta sewa galeri.

“Bukan semua pelukis muda letak harga tinggi dan tidak salah mereka berbuat demikian jika karya bermutu. Kita jangan terperangkap dengan nama. Sebagai pembeli, kita perlu tahu karya seni dibeli untuk apa? Kita perlu pastikan nama dan karya seni berjalan seiring,” tegasnya.

Di mata Zulwawi, pelukis muda sangat berani meneroka gaya baharu selain teknik persembahan baru lagi segar, manakala masih ada pelukis berjenama berkarya dalam acuan corak stail lama kerana berada pada zon selesa, lalu mengulangi kaedah serupa tanpa usaha untuk berubah.

“Memang nama besar penting dalam menilai karya seni, namun jika pengumpul karya seni halus membeli karya pelukis muda, sebenarnya mereka menyokong kelahiran lebih ramai pelukis hebat. Jadi soal harga mahal tidak timbul kerana ada seribu jalan untuk mengumpul karya seni,” katanya.

Thursday, February 3, 2011

SOALAN KERJA KURSUS SENI VISUAL STPM 2011

Pada lazimnya, Majlis Peperiksaan Malaysia mengadakan bengkel untuk Jurulatih Utama (JU) Negeri bagi membincangkan soalan kerja kursus yang dikeluarkan agar JU membuat bengkel diperingkat negeri. Pada tahun ini MPM memutuskan tiada bengkel tersebut. empat orang guru sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan dipanggil menghasilkan Power Point sebagai maklumat soalan.
Mengapa bengkel JU tidak dapat diadakan?. Beberapa perkara yang berlaku sebelum ini menjadi iktibar kepada kita yang terlibat. Antara lain terdapat JU yang dilantik tidak mengadakan kursus dan bengkel di peringkat negeri. Terdapat juga guru seni visual STPM yang membuat komplen menyatakan beliau tidak dijemput dalam bengkel dan ada pula JU tidak memberi maklumat sebaikkan hinggakan masih ada calon yang menghasilkan kerja kursus yang tidak memenuhi keperluan Seni Visual STPM. kesemua perkara-perkara disebutkan memberi implikasi kepada tindakan MPM. Namun apa pun berlaku, kita sebagai penggerak, pendidikan dan guru bidang seni visual STPM jangan memandang perkara ini dalam bentuk negatif. Hingga penulisan ini dibuat terdapat beberapa negeri sedang merancang mengadakan bengkel sehari (ada yang menjemput saya) untuk guru-guru yang terlibat, Tahniah.
Dalam ruangan yang kecil ini suka saya berkongsi sedikit mengenai soalan-soalan yang dikemukakan untuk tahun ini sebagai panduan kepada semua guru yang akan membimbing pelajar-pelajar Seni Visual STPM.
Seperti lazimnya guru penasihat kertas seni visual STPM perlu mempunyai persediaan awal seperti berkut:
  • Membaca keseluruhan arahan kertas kerja kursus untuk tahun ini.
  • Membaca semua soalan-soalan dan membuat perbincangan dengan pelajar.
  • Pastikan arahan soalan dipatuhi dan tidak terkeluar dari kehendak.
  • Persiapan mencari bahan dan sumber kewangan.
  • Memastikan soalan yang akan dibuat benar-benar boleh dibimbing oleh guru, atau mencari pembantu dalam kepakaraan.
  • Buat aliran kerja yang bermula bulan Januari hingga Ogos 2011.
Perbincangan soalan

SOALAN 1
Hasilkan sebuah karya seni visual yang bertemakan KEHARMONIAN. Hasil karya anda hendaklah menggunakan teknik 'Hard Edge' dengan menggabungkan rupa huruf dan rupa geometri. Persembahan karya hendaklah dalam bentuk 2D atau 3 D. Bagi teknik 3D teknik luakan boleh digunakan.
saiz ukuran: 2D = 40cm X 60cm : 3D = 40cm tinggi X 25c, panjang, 25 cm lebar.

Perbincangan:
  • Pastikan bentuk karya yang akan dihasilkan - samada 2D atau 3D
  • Sekiranya 2D catan adalah terbaik menggunakan bahan cat Akrilik kerana teknik yang digunakan ialah 'Hard Edge'.
  • Sekiranya 3D Arca menggunakan teknik Luakan dari kayu (cadangan)
  • Setelah memilih bentuk karya - pastikan mengikut format yang ditetapkan.
  • Mulakan dengan mencari bahan untuk menghasilkan portfolio bertemakan 'keharmonian'.
  • Pastikan tema keharmonian dikaitkan dengan rupa huruf dan rupa geometri.
  • Harmoni dari segi warna, rupa, imej geometri atau makna dalam konteks harmoni.
  • kaitkan dengan pembelajaran asas seni reka dan prinsip rekaan dalam Bahasa Seni Visual.
  • Mencari bahan-bahan dan karya-karya yang relevan dengan soalan.
Terdapat beberapa bahan yang boleh dikongsikan di sini.
1. Video Karya 2D oleh Divid Potts

2. Video Karya 3D oleh Robert Indiana:

Video cara menghasilkan catan Hard Edge

bersambung.....

Tuesday, February 1, 2011

Teknologi, Kreatif dan Pendidikan Seni Visual


Persolan yang akan saya bincangkan dalam blog ini adalah perkara yang pernah dibincangkan oleh ramai tokoh-tokoh dan penulis sebelum ini. Sepuluh tahun dahulu ramai yang telah mengupas persoalan teknologi dalam pendidikan seni dan berpuluh-puluh tahun yang lalu ramai yang bercakap tentang kreatif, malah sejak tahun 1943 lagi tokoh-tokoh seperti Paul Torrance, Robert J. Sternberg dan lain lain lagi memperkatakan tentang kreatif.
Tetapi apa yang saya hendak nyatakan di sini ialah suasana kretiviti di zaman teknologi yang penuh cabaran dan begitu cepat dalam perubahan. Di zaman kepesatan teknologi digital bermula zaman IT kemudian ICT memberi satu petanda bahasa dunia kini memerlukan suatu refleksi kepada setiap perkembangan pendidikan terutamanya Pendidikan Seni Visual. Sekitar awal tahun 2010 IPhone dan IPad telah diperkenalkan dalam pentas dunia teknologi dan komunikasi. Ini menunjukkan perubahan minda kreatif manusia sangat cepat dan perlu ditangani dengan segera dalam apa juga bidang lebih-lebih lagi bidang Pendidikan Seni Visual.
Sekiranya bidang pendidikan seni visual masih di 'takuk' lama dan masih memikirkan bentuk kreatif berpaksikan dapatan-dapatan yang sedia ada maka kita akan ketinggalan zaman. Menurut Sternberg, R. (Ed.). (1999). dalam bukunya Handbook of creativity.terbitan Cambridge University Press, beliau mentaktifkan kreativiti sebagai penerapan pemikiran sintetik, analitik, dan praktikal. Oleh yang demikian, Kita sebagai pendokong pendidikan seni visual harus memikirkan bagaimana Pendidikan Seni Visual harus diajar dalam bentuk dan wadah yang sealiran dengan perkembangan semasa iaitu melalui pendekatan sintetik dan analitik.
Kerisauan saya ialah perkembangan Kurikulum Pendidikan Seni Visual yang sedang dalam perancangan kini tidak dapat menangani situasi semasa dan tidak mengikut kehendak zaman.
Begitu juga persoalan pedagogi Pendidikan Seni Visual. Kerisauan pedagogi ialah guru pendidikan seni visual masih terkongkong dengan cara dan kaedah lama dengan hanya menunggu soalan peperiksaan berpusat dan mengajar menggunakan buku-buku rujukan. Penekanan seharusnya menekankan tiga kelompok utama iaitu pengajaran, teknologi dan Pentaksiran dengan mengunakan beberapa teori-teori pendidikan dan model Pendidikan Seni Visual seperti DBAE (Discipline Based Art Education).
Pembinaan Kurikulum Pendidikan Seni Visual harus melihat dunia luar, terutamanya bagaimana pelukis dan pereka bentuk mengunakan bahan dan teknik dalam menghasilkan produk. Proses kreativiti yang dilakukan oleh para seniman itu bagaimana?. Justru melihat bagaimana seniman muda menggunakan teknologi sebagai proses penerokaan idea kini. Pentas Pendidikan Seni Visual tidak harus banyak memberi penekanan kepada penghasilan semata-mata tanpa banyak menggunakan nilai kognitif. Format pembelajaran Pendidikan Seni Visual harus berubah dengan banyak menggunakan pendekatan inquari, penyelesaian masalah dan konstraktif. Oleh yang demikian sebenarnya kurikulum pendidikan seni visual seharusnya membantu kearah explorasi bagi mencapai tujuan tersebut.