Friday, April 23, 2010

Sentuhan 15 arkitek guna pelbagai bahantara pasti memukau

Galeri: Pameran Seni Bina Australia


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
:
2010/04/23

KOMBINASI karya seni bina dengan keragaman tema menggunakan pelbagai bahantara dan bentuk memukau pengunjung Pameran Abundant Australia yang diadakan di aras 1, Balai Seni Lukis Negara, Jalan Temerloh off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pameran yang berlangsung sehingga 16 Mei ini adalah kesinambungan Pameran Biennale Seni Bina Antarabangsa ke-11 di Venice, Itali, pada tahun lalu yang memaparkan sifat pelbagai amalan seni bina kontemporari Australia melalui model seni bina. Antara keunikan dan kelainan dalam Abundant Australia yang menampilkan hasil artifak seni bina 15 arkitek Australia terletak pada nada, tafsiran dan kepelbagaian seni bina sezaman Australia, gabungan adaptasi abad ke-9 dan ke-20.

Rooted karya Marsh Cashman dan Lal Lal Cabin oleh Paul Morgan melahirkan kebimbangan mereka terhadap alam sekitar yang membabitkan ekomorfologi hutan dan penggunaan semua bahagian pokok serta kesannya kepada pemikiran seni bina.

Karya kedua-dua arkitek ini menampilkan taman subur dengan artifak seni bina yang dibaja komuniti pelbagai budaya yang semakin membesar dan dikenali dengan perasaan bebas yang sinonim kepada Australia.

Keprihatinan Fairweather Proberts terhadap anggota polis Australia yang terkorban dalam perkhidmatan menerusi National Police Memorial yang menggambarkan tugu peringatan anggota polis melalui warna merah, biru langit dan putih.

Lyons pula meraikan cinta masyarakat Australia kepada sukan dalam Feberge Football melalui objek bola sepak dan ukiran kayu pemukul kriket berwarna merah terang sebagai tanda kecintaan orang Australia terhadap arena sukan.

Warna kuning tanah gurun Australia pula dilihat dalam Sam Miranda Winery, Oxley, Octoria karya Alex Popov selain pengunjung dapat menyaksikan beberapa keunikan perlambangan di Australia melalui karya Bluey yang dihasilkan oleh Kennedy Nolan.

Popov menjelaskan beliau menghasilkan Bluey berdasarkan simbolik perkataan Bluey yang menjadi nama timangan kepada anjing penjaga ternakan yang tersohor di Australia selain bertujuan mendedahkan kepada masyarakat antarabangsa berhubung keunikan simbolik yang jarang diketahui itu.

Antara arkitek lain yang turut terbabit pada pameran yang pasti memberi kepuasan kepada pengunjung ialah Olivia Hyde, Cox Rayner Grimshaw, Denton Corker Marshall, Catherine Lassen, Iredale Pederson Hook dan Sean Godsell.

Info

Pameran Lukisan Abundant Australia

Tempat: Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur

Tarikh: sehingga 16 Mei

Monday, April 19, 2010

Berita Harian 20 April 2010: Pameran Hasil Karya Seni Visual STPM

Karya terbaik


2010/04/19

50 hasil seni STPM seluruh negara dipamer

SEJUMLAH 50 karya seni visual hasil ciptaan bekas pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dipamerkan di Galeri Seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, selama sebulan berakhir 30 April ini.

Pameran kerjasama UPSI dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bertemakan 'Seni Visual Membentuk Kreativiti dan Inovasi' menyaksikan karya terbaik bekas calon STPM terbaik belum pernah dipamerkan sebelum ini.

Penyelaras Program, Abu Bakar Sabran, berkata karya terpilih untuk dipamer adalah yang mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan STPM dari seluruh Malaysia.

Karya itu membabitkan tema seperti batik, tenunan, seramik, arca, tembikar, ukiran kayu, logam halus, catan dan anyaman.

Beliau berkata, hasil karya terpilih mempunyai nilai tinggi dari segi bentuk, bahan, teknik dan proses penghasilan.

Selain itu katanya, pameran berkenaan boleh dijadikan rujukan kepada calon STPM yang akan mengambil kertas Seni Visual di samping memberi peluang guru dan pensyarah membuat persediaan dalam bimbingan, pemantauan dan penilaian terhadap Seni Visual.

"Masyarakat, ibu bapa, guru khasnya calon STPM yang mengambil subjek Seni Visual digalak hadir menyaksikan karya yang dipamerkan,“ katanya. Beliau berkata program berkenaan mendapat sokongan Persatuan Mahasiswa Seni Visual UPSI itu selaras dengan visi MPM membangun dan mengurus pelbagai bentuk pentaksiran yang menyumbang kepada modal insan berwibawa, versatil dan berdaya maju.

MPM menjadi badan pentaksiran jitu bagi mengukur potensi seseorang insan secara holistik bersesuaian dengan nilai dan norma murni sejagat menjelang 2025.

Sempena pameran itu juga diadakan program bicara seni oleh pensyarah UPSI, Hassan Mohd Ghazali mengenai Pentaksiran Seni Visual STPM; Dr Roskang Jailani (Lukisan Folio).

Muriza Mustafa (Hiasan Dalaman); Dr Mohd Fauzi Sedon (Catan); Prof Dr Mohd Mustafa Mohd Ghazali (Seni Visual STPM); Abu Bakar Sabran (Rekabentuk Kraf) dan Amir Hashim (Grafik).

Thursday, April 15, 2010

Bicara Seni 15 April di UPSI





15 April 2010 merupakan kemuncak kehadiran pelajar STPM dari seluruh Malaysia. Dari Perlis sampai ke Sabah datang ke UPSI untuk menyaksikan Pameran Hasil Karya Seni Visual STPM. Anggaran kehadiran dari rekod yang urusetia terima ialah 800 lebih. Semperna pameran tersebut dua ceramah Bicara seni diadakan. sebelah pagi Prof Dr. Mustaffa Mohd Ghazali menyampaikan ceramah kepentingan Seni Visual dalam kehidupan. Pada petangnya En Hassan Mohd Ghazali menyampaikan ceramah teknik menjawab soalan Seni Visual STPM, kertas 1, 2 dan 3. Rata-rata yang hadir pada pameran dan bicara seni menyatakan banyak ilmu dan pengalaman yang dapat mereka temba. Semoga segala usaha program ini memberi manfaat kepada pelajar dan guru-guru Seni Visual STPM.

Sunday, April 11, 2010

Pensyarah Seni Visual UPSI berkarya melalui 'text messages'






Apa pun tema yang dikemukakan dalam sesuatu penghasilan karya seni visual ianya berhubung dengan persoalan gaya penampilan, makna dan konteks. Pada 10 April 2010 di NN Gallery Ampang Kuala Lumpur seramai 25 orang pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris berjaya bergabung menghsilkan karya seni visual. Pameran ini adalah julung kali diadakan oleh pensyarah yang mengajar pendidikan seni visual. Dalam konteks seni visual peranan pendidikan seni amat penting sebagai penggalak dan menyubur generasi pendidikan seni.

Dalam katalog pameran itu awal-awal Dr. Mohd Fauzi Sedon mengariskan maksud 'text message' dengan menyatakan, ' Text Messages' can be defined as a brief written message over cellular networks, a letter/fax, an email, articles in newspapers, a proverb/verse, the promotional slogan and etc., or anything that is related either directly or conceptually thematic around the subject, or about anything that we can 'read' visually or mentally. Artists are encouraged to explore these ideas in a broader perspective that challenges and embraces the complexity of the themes in one of the following areas:
Technology - media, device, software, communication, convenience...
Social - feeling, religion, language, information, entertainment, interference...
Culture/popular culture - thought, physical, action...
Health concern - mental pressure/emotion, addiction...
Law and crime - social unrest, safety, 'sexting', recording, bullying, accidents
Business Et finance - contest, TV/radio programme, promotion... Politic - campaign, propaganda, slogan...
Current challenges - spam, services, prices, impact...

Sementara itu Prof. Dr. Tjetjep Rohendi Rohidi menyatakan' Sebagai simbol, pada setiap teks tersembunyi makna, hasrat, gagasan, nilai-nilai dan pesan-pesan yang disampaikan dan yang diksifkan melalui pemahaman bersama. ertinya, teks menjadi bermakna bagi kehidupan manusia jika ia menjadi rujukan dan sekaligus menjadi sarana komunikasi.

Dr. Ahmad Suhaimi dalam penulisan awal katelog itu mengungkap sejarah awal teks yang mana bermulakan dari 'golong daun Paprus' yang menjadi kertas dan itulah awalnya penulisan teks dunia.

Apa pun persoalan teks yang diperbicangkan dalam konteks tema pameran ini adalah menunjukkan dengan jelas persoalan 'makna'. Rata-rata karya yang dipamerkan menunjukkan persoalan 'semiotik' yang didokong maksud makna. Sebenarnya besar haras saya untuk membuat kritikan pameran ini dari aspek semiotik. Kerana jarang sekali kita membicarakan sesebuah karya seni visual atas landasan teori ini. Prof Tretjep menyentuhnya sedikit dalam penulisan awal itu.

Biarlah saya menyentuh sedikit tentang teori semiotik ini. Teori ini telah dikemukan oleh Charles Sanders Pierce. Beliau mengutarakan persoalan perhubungan manusia dengan persekitaran melalui berfikir, berkomunikasi dan memberi makna apa yang ditampilkan malalui simbol adn makna. Justru beliau menyarankan tiga hubungan yang berkaitan dengan tanda dan makna melalui Ikon, Indeks dan simbol.

Dalam pemeran 'text mesages' secara umum berlandaskan teori ini. sesuatu yang jarang dikemukan oleh pengkarya-pengkarya seni visual. Namun persoalan makna masih boleh dirungkaikan dalam episod yang lebih realistik. Nilai falsafah dalam karya-karya yang dihasilkan mempunyai identiti gaya intelektual sebagai pengajar pendidikan seni visual.

Tuesday, April 6, 2010

Pameran Batik Pelajar UPSI 2010






Batik merupakan seni kraftangan tradisional yang terkandung dalam sukatan pelajaran pendidikan seni visual. Kalau ditanjau dari sejarah batik di negara ini, batik mula mendapat tempat sejak zaman kesultanan Melaka. Pengaruh batik datang dari pulau Jawa yang memang menjadi cara hidup menggunakan kain batik sebagai pakaian mereka. Pada tahun 1770-an batik pelangi mula diperkenalkan di Kepulauan Melayu. Di Negara ini sejarah Batik mula diketahui pada abad ke-18 apabila Batik Minah Pelangi memulakan perusahaan di Terengganu. Tahun 1911, Haji Che Su bin Ishak memulakan perusahaan batik di kawasan Lorong Gajah Mati, Kota Bahru Kelantan. Pada masa itu teknik menggunakan batik hanya menggunakan teknik cetak (terap) dengan menggunakan blok kayu yang diukir. Hinggalah sekarang batik terus mendapat tempat dan batik menjadi pakaian rasmi pada setiap hari Khamis.

Pameran Batik dengan bertemakan 'idea' dikalangan pelajar UPSI yang mengambil kursus ini merupakan satu usaha yang sangat baik terutama bakal guru yang akan mengajar pendidikan seni visual disekolah nanti. Kepentingan pengajaran batik di sekolah amatlah penting kepada bakal guru PSV ini adalah kerana sukatan pelajaran batik perlu diajar pada tingkatan 3 disamping itu soalan Kerja kursus SPM sering mengemukakan soalan batik. Oleh yang demikian guru PSV perlu tahu dan mahir mengajar Batik dari segi bahan dan teknik.

Dilihat pada karya-karya pameran yang diperagakan oleh pelajar UPSI, mereka dapat mengekspotasi bahan dan teknik batik dalam situasi terkini, misalnya teknik ikat dan celup atau lebih dikenali sebagai batik pelangi dan teknik canting. Pelajar juga membuat penerokaan batik tradisi dengan mencanting motif-motif tradisi dan isen batik pada permukaan kain. Secara umum pameran seumpama ini secara langsung dapat memberi pendedahan kepada kajian batik sebagai displin pendidikan seni visual.

Monday, April 5, 2010

Bicara Seni Pertama: Pameran Hasil Karya Seni Visual STPM





Pada 5 April 2010 di bilik lakaran Fakulti Seni Dan Muzik UPSI program Bicara Seni kali pertama diadakan dengan tajuk Pentaksiran Seni Visual STPM yang dibentangkan oleh saya. Seramai lebih 70 orang pelajar dan guru-guru hadir mendengar ceramah itu. Sekolah yang paling jauh datang adalah dari Sekolah Mersing Johor.

Dalam ceramah tersebut menyentuh bagaimana cara menjawab soalan kertas 1, 2 dan menyediakan dengan baik portfolio dan menghasilkan karya untuk kertas 3. ceramah tersebut memakan masa selama 3 jam. Pelajar dan guru yang hadir banyak bertanyakan teknik dan cara permarkahan diberi dalam kertas-kertas Seni Visual STPM. Selepas program tamat masih ada pelajar dan guru-guru bertanya soalan-soalan yang berkaitan pentaksiran seni visual. semoga pendedahan begini dapat memberi perangsang dan berguna kepada calon dan guru-guru dalam pentaksiran seni visual STPM.

Selepas habis mendengar ceramah tersebut pelajar dan guru-guru melawat kepameran dan melihat demontrasi batik, anyaman dan tembikar. Menurut seorang guru yang hadir menyatakan pendedahan dan ceramah yang diberi banyak membantu calon menjawab kertas 1 disamping guru juga dapat mengetahui sistem skima permarkahan yang diberi. Pemeran ini juga dapat melihat betapa tinggi dan hebatnya pengkaryaan dan perekaan yang dihasilkan oleh calon-calon STPM.

Wednesday, March 31, 2010

Teori Semiotik Dalam Karya Seni Visual

Jarang sekali dalam dunia seni visual dinegara kita membincangkan kritikan dan persoalan seni visual atas landasan teori. Teori seni juga kurang menarik dibincangkan mungkin kerana ianya sukar difahami dan kurang orang seni visual meminati. Persoalan teori seni visual menjadi lesu dan tidak diambil pusing oleh sarjana-sarjana dalam bidang seni visual. Berbanding dengan disiplin seni sastera yang sangat ghairah membincangkan aspek-aspek teori dalam penghasilan karya-karya mereka.

Saya terpanggil untuk membincangkan kepentingan kritikan teori dalam seni visual terutama yang akan saya sentuh ialah teori semiotik. sebenarnya sebuah karya seni visual adalah juga merupakan susunan kata ibarat sebuah 'prosa' atau sebuah 'puisi' yang termaktub melalui bahasa visual. Teori semiotik adalah landasan metodologi membuka bahasa dalam sebuah karya seni visual melalui 'pembedahan' dari seni makna tersirat dan tersurat. Kalau kita membaca beberapa buah buku mengenai teori semiotik ini, kita dapati bahawa gagasan pemikiran semiotik itu sendiri melalui proses pengembangan dari tokoh seperti Pierce, Levi strauss, Roland Bartes, Umberto Eco hingga Vihma. Perkembangan teori ini memberi kesan yang besar terhadap pemikiran berlandaskan estetik dan artistik.

Semotik adalah berasal dari kata Yunani iaitu 'Semeion' yang bermaksud tanda. Istilah ini diperkenalkan oleh ahli falsafah Jerman yang bernama Lambert dalam abad ke 18. Dua orang tokoh utama sebagai printis memperkenalkan semiotik ialah Charles Sanders Pierce (1839-1914) dan Ferdinand de Saussure (1857-1913).

Pierce menyatakan maksud 'tanda' adalah sangat luas dan melangkaui tanda-tanda yang bersifat umum. Menurutnya ada tiga hubungan yang berkaitan dengan tanda, iaitu:
1. Ikon - contoh: peta, logo, lambang dsb.
2. Indeks - contoh: seni reka tanda, penunjuk arah dsb.
3. simbol - contoh: bersalaman, angguk kepala tanda setuju dsb.

Persoalanya bagaimana dikaitkan dengan kritikan teori ini dengan karya seni visual?.
Kalau diambil kira kenyataan pierce yang menyatakan maksud tanda dan kaitan dengan ikon, indeks dan simbol maka kita booleh rumuskan bahasa dalam sesuatu karya seni visual samada dalam seni halus (pengkaryaan) atau reka bentuk (perekaan), tiga perkara ini dapat dirangkumkan melalui petunjuk makna tersirat. Dalam penghasilkan sebuah karya seni visual pengkarya akan menentukan hal benda sebagai mewakili maksud karya oleh yang demikian maka itu adalah maksud ikon yang mewakili dasar pokok persolan yang dikemukakan oleh pengkarya. Sementara peristiwa atau sesuatu perkara seperti budaya dan pengaruh yang hendak digambarkan itu adalah merupakan indeks. Manakala simbol adalah makna tersirat melalui imej dan gubahan yang dibentuk.

Dalam bidang komunikasi visual sangat berhubung rapat dengan teori semiotik ini. Dalam buku Basic Visual Concepts and Principles oleh Charles Wallschlaeger dan Cynthia Busic-Snyder di awal penerangannya menyatakan kepentingan dalam sesuatu reka bentuk adalah seseorang pereka bentuk memahami teori persepsi dan teori komunikasi. Teori persepsi yang dimaksudkan ialah teori Gestalt dan teori komunikasi ialah teori semiotik atau 'teori tanda'.

Wednesday, March 24, 2010

Bicara Seni 5 April 2010 - Pentaksiran Seni Visual STPM

Sempena Pameran Seni Visual STPM yang berlangsung di Galeri UPSI yang bermula pada 1 April 2010, saya ditugaskan untuk memberi ceramah untuk calon STPM dengan tajuk Pentaksiran Seni Visual STPM.
Sinopsi tajuk yang akan saya bentangkan:

1. Format pentaksiran kertas 1, 2 dan 3 dalam Seni Visual STPM.
2. Bagaimana untuk mendapat markah yang baik untuk menjawab kertas 1 - penghuraian bagaimana format yang baik untuk menjawab dan apakah faktor permarkahan setiap soalan.
3. Teknik-teknik untuk mendapat markah yang baik dalam kertas 2. Calon akan didedahkan apakah aspek pemarkahan dalam kertas 2.
4. Aspek penting untuk mendapat markah yang baik kertas kerja kursus. (mengikut soalan tahun ini)
5. Bagaimana untuk mendapatkan markah yang baik untuk portfolio kertas 3.

Diharapkan perbentangan ini membantu calon STPM.

Sunday, March 21, 2010

Pameran Karya Seni Visual STPM


Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dengan Kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan pameran hasil karya Seni Visual STPM bertempat di Galeri UPSI. Pameran ini adalah hasil kerja calon-calon STPM kertas 2 dan 3 yang dipilih. Sebanyak lebih 50 karya Catan, Lukisan, Grafik, Batik, Arca, Reka bentuk dan sebagainya akan dipamerkan sepanjang sebulan bermula pada 1 hingga 30 April 2010.

Sepanjang pameran pihak pengajur menyediakan acara sampingan seperti demontasi seni visual dan ceramah-ceramah antaranya:

Demontarasi Seni Visual:
Berjalan sepanjang pameran di ruang legar Galeri Seni UPSI dari Jam 10.00 pg - 5 Ptg.
Antara bidang Seni Visual: Batik, Seramik, Ukiran anyaman, Catan, Logam Halus dan Tenunan.

Ceramah (Bicara Seni)

5 April 2010 - 10.00 pg. Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Pentafsiran Seni Visual STPM - Penceramah: En. Hassan Mohd Ghazali

7 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Lukisan/Folio - Penceramah: Dr. Roskang Jailani

12 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Hiasan Dalaman - Penceramah: Cik Muriza Mustafa

14 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Catan - Penceramah: Dr. Mohd Fauzi Sedon

15 April 2010 - 10.00 pg . Auditorium Utama bertajuk: Seni Visual STPM - Penceramah: Prof. Dr. Mohd Mustafa Mohd Ghazali.

22 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Rekabentuk Kraf - Penceramah: En. Abu bakar Sabran

28 April 2010 - 10.00 pg . Bilik Seminar Fakulti Seni Muzik bertajuk:Grafik - Penceramah: En. Amir Hashim

Nota: Bicara seni yang dijalankan adalah dihadkan penyertaan seramai 120 orang sahaja. Sila hubungi urusetia untuk membuat penempahan tempat - No. Tel: 03-6136 9663 ext 2614/2608/2702.


Tuesday, March 16, 2010

Banyak Buku-buku Rujukan Pendidikan Seni Visual tidak menepati kehendak kurikulum PSV

Baru-baru ini saya terlibat mengajar kaedah mengajar kepada guru-guru Pendidikan Seni Visual (PSV) bagi Sekolah-sekolah Menengah Rendah Sains MARA (MSRM) di Kolej Poly-Tech MARA di Bangi. Saya merasa kagum dengan guru-guru ini kerana mereka mengajar Pendidikan Seni Visual disekolah yang memperjuangkan bidang matematik dan sains. Peranan mereka adalah memperkenalkan Seni Visual kepada murid-murid pilihan yang bakal menerajui kepakaran bidang Sains dan Teknologi. Bukan senang mengajar di MSRM dalam bidang PSV, kata mereka terdapat pelajar dan guru yang meremehkan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Bidang ini kononnya tidak mempunyai nilai pasaran yang baik.

Sebenarnya bukan persoalan itu yang saya nak sentuhkan di sini. Persoalan yang lebih penting dan paling penting bagi kita yang 'bergelumang' dengan Pendidikan Seni Visual ialah bahan-bahan rujukan Pendidikan Seni Visual terutama buku-buku yang diedarkan di sekolah-sekolah. Saya tersentuh apabila guru pelatih mengajar Mikro dan Makro tersilap fakta dalam pengajaran mereka kerana membuat rujukan buku-buku yang telah diterbitkan dan menjadi buku rujukan disekolah mereka.

Pada masa kini terdapat banyak penerbit-penerbit dan penulis yang membuat buku Pendidikan Seni Visual. Kebanyakan buku-buku ini tidak ada kawalan dari segi kandungan, mutu dan standard imej dan bahasa. Bagi guru-guru PSV, buku-buku adalah dapat membantu pengajaran mereka dalam bidang ini, tambahan pula bagi guru yang bukan opsyen PSV.

Buku-buku yang ada dalam pasaran kebanyak mengambil bahan dari buku-buku Pendidikan seni Visual yang ada dalam pasaran dan mereka hanya mengubah suai dari segi ayat dan gambar sahaja. Penulis buku-buku berkenaan tidakpun merujuk kurikulum dan Huraian Kurikulum yang telah disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurukulum (PPK). Ini yang malang sekali. Saya telah meneliti beberapa buku yang mempunyai kesalahan besar dalam menyempurnakan isi kandungan kurikulum dan P&P Pendidiakan Seni Visual:

1. Kandungan Buku tidak menepati kurikulum tingkatan 1 hingga 5.
2. Tidak mengikut Huraian sukatan (Diluar kulit meyatakan mengikut huraian sukatan)
3. Aras soalan tidak betul (misalnya soalan yang dikemukkan menyatakan aras aplikasi tapi soalan yang dinyatakan aras pengetahuan)
4. Kandungan (contents) yang tidak betul, paling banyak salah ialah bidang grafik.
5. Gambar dan imej tidak menepati kehendak seni visual.
6. Terdapat buku yang hanya mementingkan pepereksaan semata-mata.

Saya berharap dapat komen dari guru-guru Pendidikan Seni Visual dalam hal ini.

Thursday, March 11, 2010

Persiapan Pameran Seni Visual STPM





Pada 11 Mac 2010, Jawatankuasa persiapan pemeran sehari suntuk memilih karya-karya terbaik di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Staf Jabatan Seni UPSI dikalangan beberapa pensyarah dan pereka seni datang ke MPM memilih karya-karya untuk pameran yang akan berlangsung pada 1 hingga 30 April 2010 di Galeri Seni UPSI.

Pemilihan karya adalah berdasarkan bidang pengkaryaan dan perekaan. Jawatankuasa juga akan mempamerkan karya lukisan (kertas 2) yang terbaik dari tahun-tahun lepas. Kepada guru-guru seni visual STPM dan pelajar tingkatan 6 saya menjemput datang ke UPSI untuk melihat karya-karya tebaik dan boleh dijadikan panduan dan pedoman.

Friday, March 5, 2010

Bahan Panduan STPM Seni Visual

Majils Peperiksaaan Malaysia telah menyediakan bahan-bahan untuk dimuat turun kepada guru-guru dan calon-calon STPM seni Visual 2010. Bahan-bahan tersebuat adalah dalam bentuk PowerPoint yang telah diedit hasil dari taklimat dan bengkel Jurulatih Utama pada awal Februari yang lepas. Anda bolehlah klik pada laman sesawang http://www.mpm.edu.my/ (Klik pada Peperiksaan - peperiksaan - Bahan Teklimat Seni Visual 2010).

bahan ini adalah untuk memberi panduan kepada guru pembimbing dan calon-calon STPM yang mengambil Seni Visual kertas 3.

Sunday, February 28, 2010

Kraftangan tempatan mendapat pengiktirafan kerajaan





Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2010 (HKK) merupakan suatu pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap hasil kraftangan tempatan. Kraftangan merupakan hasil seni visual tradisi yang dipelopori sejak zaman batu sebelum masihi lagi. Perjumpaan-perjumpaan akeologi manusia boleh dikatakan kesemuanya bersama hasil kraf seperti seramik dan manik-manik. Ini bermakna kraf adalah sebahagian dari kehidupan manusia.

Kebanyakan kraf tempatan asalnya adalah digunakan sebagai penggunaan domestik disamping digunakan untuk kebesaran di raja. Namun pada masa kini kraf adalah sebagai warisan dan dijadikan sebagai alat perhiasan dan mempunyai nilai komesyal. Kraftangan Malaysia telah mendefinisikan kraftangan sebagai:
"Keluaran Kraftangan" ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk batik pada atau di mana-mana bahagiannya.

(Sumber: Akta 222-Akta perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979)

Meninjau festival kraf yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, sambutan masyarakat sangat mengkagumkan terutama pada hujung minggu. Promosi dimedia elektronik dan media cetak setiap hari. Menunjukkan betapa kerajaan dibawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia sangat mengambil berat terhadap membangunkan kraf negara.

Pada pendapat saya, sekiranya kerajaan sungguh-sungguh untuk memajukan kraf negara perlu ada makanisma yang sepadu untuk menaikkan persoalan reka bentuk dan nilai komesyal dalam penghasil produk kraf. Pembangunan pendidikan seni visual harus dipekuatkan sejak dibangku sekolah lagi. Saya akui kini di sekolah-sekolah mempunyai kurikulum pendidikan seni visual dan kraf tradisional adalah sebahagian dari kandungan kurikulum, namun dirasakan tidak mencukupi kerana pelajaran pendidikan seni visual diperingkat rendah sangat terabai dan kurang diberi penekanan, begitu juga diperingkat sekolah menengah rendah.

Suatu bentuk kurikulum yang bersepadu menitik beratkan persoalan reka bentuk produk dengan kraf dengan menekankan unsur estetik, kreatif dan inovatif digubah agar kraf negara menjadi suatu kebanggaan negara di serata dunia seperti moto lawan web Kraftangan Malaysia.... 'Kraf negara, mutiara dunia....'

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dibawahnya ialah Kraftangan Malaysia juga mempunyai Institut Kraf Negara (IKN) yang melatih hingga peringkat diploma dalam bidang kraf. Namun masih banyak masalah biokrasi yang masih belum diselesaikan, misalnya masalah pengiktirafan diploma, kurikulum dan taraf tenaga pengajar. Harus diingat bahawa Kementerian yang sama juga mempunyai kolej yang mempunyai taraf pengajian hingga diploma dibawah Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Akademik ini lebih diberi perhatian dan publisiti. Wajar IKN digambungkan dengan ASWARA....?.

Persoalan awal ialah kraftangan menjadi salah satu agenda meningkatkan ekonomi negara bertaraf dunia. Apakah yang harus dibuat? Apakah asasnya? bagaimana pelaksanaan?. Paling asas untuk membentuk pereka bentuk, pandai tukang, adiguru adalah bermula dengan pendidikan seni visual disekolah.

Thursday, February 25, 2010

Kehebatan Seni Visual Dalam Filem Avatar





Masuk tahun 2010 merupakan suatu transaksi baru dalam dunia perfileman apabila filem AVATAR menjadi fokus utama dalam kritikan media-media seluruh dunia. Saya sempat menyaksikan preview filem tersebut malaui rangkain Astro. Apa yang menarik ialah apabila wartawan bertemuramah dengan pengarah dan penulis skrip filem tersebut James Cameron. Dalam temubual tersebut wartawan tersebut bertanyakan apakah aspek utama sebelum memulakan pembikinan filem tersebut?, beliau terus menyatakan mulanya apabila beliau ingin memulakan filem tersebut beliau akan mencari pelukis-pelukis yang handal untuk melukis watak dan latar.

Kenyataan Cameron jelas sekali menunjukkan betapa pentingnya pereka dan pelukis dalam sesebuah filem, lebih-lebih lagi sebuah filem fiksyen seperti Avatar. Malah kejayaan filem ini juga banyak bergantung kepada kehebatan penciptaan watak Avatar dan suasana persekitaran alam sekitar yang diilhamkan oleh pelukis.

Perkahwinan antara teknologi dan seni visual membuahkan sebuah penciptaan filem yang sungguh mengkagumkan melalui penjanaan komputer CGI. Dipinjamkan komen Ku Seman ku Husein dalam Utusan Malaysia, Avatar memperlihatkan Cameron seorang yang imaginatif, tentu saja ini tidak mampu dizahirkan sekiranya tidak ada teknologi yang boleh mencipta visual tanpa melakukan penggambaran secara tradisional. Avatar tercipta apabila seorang karyawan yang imaginatif memiliki alat yakni teknologi untuk menzahirkan imaginasinya.

Menyaksikan filem Avatar saya merasakan betapa seni visual menjadikan kita berada dalam sebuah alam lain. Imaginasi Cameran bersama pelukis-pelukis membuahkan sebuah filem yang menjadikan dunia teknologi filem kini memerlukan komitmen para pengkarya pelukis dan pereka yang mempunyai ilmu dan teknologi yang tinggi.

Kepada pelajar-pelajar yang telibat dalam Seni Visual, saya merasakan filem ini merangsang kepada kita bahawa pasaran bidang seni visual didunia kini semakin diperlukan, tidak kiralah bidang seni halus, komunikasi visual dan lain-lain.

Tuesday, February 23, 2010

Taklimat Seni Visual Kertas 3 STPM Peringkat Negeri Perak 2010






23 Februari 2010, Jabatan Pendidikan Negeri Perak berjaya mengadakan taklimat kertas 3 Seni Visual STPM kepada 23 orang guru-guru Seni Visual seluruh negeri Perak. Taklimat tersebut berlangsung dibilik mesyuarat Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Perkara penting dalam sesi taklimat dan ceramah saya ialah guru-guru banyak bertanya permasalahan soalan nombor 2 dan 3. Perjumpaan saya dengan guru-guru seni visual banyak memberi pengalaman yang menarik, terutama saya dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh guru-guru dalam mengendalikan projek dengan pelajar mereka. Perkongsian maklumat dengan guru-guru secara tidak formal memberi suatu kesedaran terhadap permasalah yang dihadapi oleh pelajar yang mengambil kertas 3.

Dalam senario kekurang budget kini, JPN perak dapat juga mengadakan taklimat yang sangat penting untuk guru-guru seni visual tingkatan 6. Tahniah buat En. Shamsul (Pegawai JPN) kerana berjaya mengadakan program taklimat ini.

Friday, February 19, 2010

STPM Seni Visual Kertas 3: Soalan No 4




(Contoh karya hiasan dalaman)

Soalan nombor 4 merupakan soalan reka bentuk dalaman yang memerlukan calon menghasilkan sebuah reka bentuk sebuah restoran moden. Calon perlu memikirkan beberapa elemen-elemen moden dalam reka bentuk restoran tersebut, misalnya dari segi ruang, pemilihan perabot, pencahayaan, warna, reka bentuk bentuk restoran berdasarkan konsep. Namun demikian, raka bentuk hiasan dalaman sangat mementingkan konsep ruang. Kerana kesan ruang dapat memberi kesan kepada manusia yang berada dalam lingkungan itu. Untuk memenuhi kehendak pengguna maka ‘ketelitian’ calon memenuhi hiasan ruang adalah sangat penting. Antaranya:

1. Mengatur keserasian susunan perabot

2. Memilih material dan elemen ruang yang sesuai dengan fungsi

3. Dimensi perabot yang dengan saiz yang bersesusian dengan kebesaran ruang

4. Mencipta suasana ruang agar mempu menyatakan fungsi dan kehendak soalan.

Kemahiran yang sangat penting ialah dari segi membuat model. Bahan untuk membuat model mestilah tidak mudah pecah tetapi ringan. Gam yang digunakan perlu menggunakan gam yang kuat agar bahan-bahan yang dilekatkan tidak mudah jatuh semasa penghantaran di MPM.

Soalan yang dikemukakan ialah:

Hasilkan sebuah model reka bentuk hiasan dalaman bagi ruang sebuah restoran yang moden dengan memasukkan unsur-unsur budaya tempatan yang boleh membangkitkan selera pengunjung.

Ruang restoran tersebut hendaklah mengambil kira ruang makan, ruang pamer, ruang penyediaan makanan, dan beberapa buah gerai (stall) untuk makanan masak segera.

Perkara penting yang yang dikehendaki soalan ialah:

1. Ruang sebuah restoran moden

2. Memasukkan unsur-unsur budaya tempatan dalam gubahan reka bentuk dan hiasan

3. Berjaya membangkitkan selera dalam ruang restoran tersebut dengan hiasan atau gambar.

4. Dalam ruang restoran tersebut terdapat ruang makan (kerusi meja), ruang pamer (gambar @ model buah-buahan), ruang penyediaan makanan dan beberapa gerai dalam bentuk stall untuk masak segera.

Thursday, February 18, 2010

Keputusan STPM 2009 Khamis depan


Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, berkata calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

education examination spm stpm scholarship biasiswa 090609 02Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result dan hantar ke 15888.

Keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada tarikh itu.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 11.30 pagi pada tarikh sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu, 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM.

Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian.

Sumber MALAYSIAKINI

STPM Seni Visual kertas 3: Soalan No. 3





(Ilustrasi di atas adalah contoh-contoh reka bentuk identiti korporat)

Soalan nombor 3 merupakan soalan reka bentuk grafik yang memerlukan calon menghasilkan sebuah reka bentuk identiti korporat. Beberapa kemahiran penting dalam penghasilan reka bentuk grafik:

1. kemahiran menggunakan alat grafik secara manual

2. kemahiran menggunakan komputer dengan perisian grafik seperti Adobe Ilustrator atau Corel Draw.

3. Kemahiran membuat persembahan karya.

Kemahiran-kemahiran ini penting agar standard karya calon setanding dengan persembahan sebuah karya reka bentuk grafik. Paling penting dalam persembahan akhir dalam reka bentuk grafik ialah kemas, bersih dan tidak kotor.

Soalan yang dikemukakan:
Hasilkan sebuah rekaan logo yang menonjolkan identiti korporat bagi sebuah syarikat perdagangan bertaraf antarabangsa yang mengeksport barang kraf tangan tempatan. Dengan menggunakan rekaan logo berkenaan, hasilkan juga reka bentuk set identiti korporat yang merangkum kepala surat, sampul surat, kad nama, dan kenderaan perdagangan syarikat tersebut.

Berdasarkan soalan keperluan calon membuat kajian dalam reka bentuk ialah:
1. Logo sebuah bertaraf antarabangsa yang mengeksport barang kraf tangan tempatan,
2. Set identiti korporat yang merangkum kepala surat, sampul surat, kad nama, dan kenderaan perdagangan syarikat.


Menurut dalam kamus WIKIPEDIA mengenai indentiti korporat ialah:

In marketing, a corporate identity is the "persona" of a corporation which is designed to accord with and facilitate the attainment of business objectives. It is usually visibly manifested by way of branding and the use of trademarks.[1]

Corporate identity comes into being when there is a common ownership of an organisational philosophy that is manifest in a distinct corporate culture — the corporate personality. At its most profound, the public feel that they have ownership of the philosophy.[2]

In general, this amounts to a corporate title, logo (logotype and/or logogram), and supporting devices commonly assembled within a set of guidelines. These guidelines govern how the identity is applied and confirm approved colour palettes, typefaces, page layouts and other such methods of maintaining visual continuity and brand recognition across all physical manifestations of the brand. These guidelines are usually formulated into a package of tools called corporate identity manuals.

Many companies, such as McDonald's and Electronic Arts, have their own identity that runs through all of their products and merchandise. The trademark "M" logo and the yellow and red appears consistently throughout the McDonald's packaging and advertisements. Many companies pay large amounts of money for an identity that is extremely distinguishable, so it can appeal more to its targeted audience.

Dalam penyataan Wikipedia itu jelas menunjukkan keperluan sesuatu reka bentuk korporat itu direka. Paling penting ialah keperluan sesebuah syarikat perniagaan dari segi perniagaan, mempunyai falsafah dan budaya tersendiri dalam syarikat itu. Segala reka bentuk dibuat adalah mempunyai makna dan falsafah tersendiri, misalnya dari segi warna, tipografi dan imej yang dikemukakan.