Sunday, August 30, 2009

Hukum Melukis dan Menggambar dalam Islam










Sempena di bulan Ramadhan, bulan yang mulia bagi beragama Islam. Kesempatan bulan ini saya sempat membaca beberapa buku dan kitab yang berkaitan dengan agama. Sebuah buku yang pernah saya baca dan saya ulangai pembacaan adalah buku yang ditulis oleh ulamak tersohor Syekh Yusuf Qardhawi (Klik untuk mengetahui Yusuf_al-Qaradawi) bertajuk 'Halal Dan Haram Dalam Islam'. Dalam bab yang paling menarik saya berkongsi bersama ialah berkaitan hukum melukis dan mengukir. Bab ini ada kaitan dengan bidang orang yang terlibat dengan seni visual seperti saya.

Dalam buku tersebut meriwayatkan oleh Muslim, Sabda Nabi berbunyi, "Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di hari khiamat ialah orang-orang yang menggambar".

Apabila baca sahaja maksud hadis tersebut berdebar hati kita.... Namun dalam rumusan Syekh Yusuf Qardhawi seterusnya menyatakan, Imam Thabari berkata: "Yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah orang-orang yang membuat gambar sesuatu yang akan disembah selain dari Allah, sedangkan pelukis tersebut mengetahui dan sengaja. Pelukis itu Kufur. Menurut Yusuf Qardhawi, sekiranya tidak sengaja atau tidak dari golongan demikian, ianya adalah berdosa.

Dalam Islam apabila menentukan sesuatu hal yang tidak dapat dirungkaikan dalam keadaan semasa, apatah lagi apabila selepas kewafatan Rasullulah saw maka segala hukum-hakam akan ditentukan berlandaskan Al Quran, Hadis, Qias dan Ulamak. Dalam kupasan kitab Yusuf Qardhawi, beliau banyak mengambil Hadis-hadis menjadi sandaran hukum melukis dan mengambar. Beliau menyatakan hukum yang nyata Haram ialah melukis Gambar Tuhan, para Nabi, Malaikat. Sedangkan melukis gambar tokoh-tokoh seperti Raja dan pemimpin tahap tidak haram, namun masih berdosa kerana gambar itu dalam bentuk bernyawa dan boleh dijadikan bahan kekaguman orang ramai. Tetapi sekiranya pelukis melukis orang yang khafir, zalim dan fasik maka hukumnya adalam haram.

Dalam huraian Yusuf Qardhwi, beliau menyatakan melukis gambar-gambar makluk tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, suasana laut, gunung, matahari dan bulan maka ianya tidak bertentangan dengan Islam dan tidak berdosa.

Beberapa hadis sahih diperkuatkan oleh Yusuf Qardhawi berkaitan gambar-gambar antaranya;
"Dari Bisir bin Said dari Zaid bin Khilid dari Abu Talhah sahabat Nabi, bahawa Rasullulah saw bersabda bermaksud' Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya ada gambar". Diperkuatkan kenyataan lain antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Aisyah: " Saya membunyai tabir padanya ada gambar burung, sedang setiap orang yang masuk akan menghadapnya (akan melihatnya), kemudian Nabi berkata kepadaku: Pindahkanlah ini, kerana setiap saya masuk dan melihatnya maka saya ingat dunia",. Kenyataan ini bermaksud Rasulullah saw tidak suka gambar yang terpapar pada langsir tersebut. Namun beliau tidak pula menyuruh membuang gambar itu.

Gambar yang terlarang menurut Yusuf Qardhawi ialah, "Bahawa gambar yang dilarang itu hanyalah yang ada bayangannya, adapun yang tidak ada bayangannya tidak mengapa" merujuk kitab Syarah Muslim. Paling ketara ialah membuat karya-karya 3 Dimensi (berjisim) dengan tema berkaitan benda yang bernyawa (hidup) seperti arca figuratif.

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah dalam salah satu riyawat Bukhari dan Muslim berbunyi, "Sesungguhnya Aisyah membeli bantal yang ada gambar-gambar, maka setelah Nabi melihatnya ia berdiri di depan pintu, tidak mahu masuk. Setelah Aisyah melihat ada tanda kemarahan di wajah Nabi, maka Aisyah bertanya: Apakah saya harus bertaubat kepada Allah dan RasulNya; apa salah saya? Jawab Nabi: Mengapa bantal itu begitu macam? Jawab Aisyah: Saya beli bantal ini untuk engkau pakai duduk dan dipakai bantal. Maka jawab Rasulullah pula: Yang membuat gambar-gambar ini nanti akan disiksa, dan akan dikatakan kepada meraka: Hidupkanlah apa yang kamu buat itu. Lantas Nabi melanjutkan permbicaraanyaNya: Sesungguhnya rumah yang ada gambar tidak akan dimasuki malaikat. Dan Imam Muslim menambah lagi dalam satu riwayat Aisyah menyatakan: Kemudian bantal itu saya jadikan dua biji untuk bersandar, dimana Nabi biasa bersandar dengan dua sandaran tersebut di rumah. Yakni Aisyah membelah bantal tersebut dan dipakai untuk dua sandaran".

Kesimpulan, Yusuf Qardhawi merumuskan dengan menyatakan: ... kemungkinan yang nampak pada hadis-hadis yang berkenaan dengan masalah gambar dan pelukisnya, iaiatu bahawa Rasulullah saw memperkeras persoalan ini apa masa pertama dari kerasulnyanya, di mana waktu itu kaum muslimin baru saja meninggalkan syirik dan menyambah berhala serta mengagung-agungkan patung. Tetapi setelah aqidah tauhid itu mendalam ke dalam jiwa dan akar-akarnya telah menusuk dalam hati dan fikiran, maka beliau memberi perkenan dalam hal gambar yang tidak berjasad, yang hanya sekadar ukiran dan lukisan. Yusuf Qardhawi memberi hujah, kalau Rasulullah swa tidak suka pada langsir tentu beliau mengharamkan terus, namun tidak begitu.

Wednesday, August 26, 2009

Perkembangan Guru Tingkatan 6 dalam Berita Harian

Pelantikan guru Tingkatan Enam perlu disegerakan
Oleh: Rosniza Mohd Taha

SEBANYAK 767 sekolah menengah kebangsaan dan swasta yang menawarkan Tingkatan Enam sepatutnya sudah melantik guru penolong kanan dan kokurikulum serta tenaga pengajar bagi memulakan proses transisi penjenamaan semula pengajian peringkat prauniversiti itu.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Zulkifly Mohd Wazir, berkata pelantikan itu antara perkara utama disenaraikan Kementerian Pelajaran dalam Garis Panduan dan Tanggungjawab Guru Akademik Tingkatan Enam dikeluarkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia pada Mei lalu.

Dengan pelantikan itu, katanya, perancangan serta pelaksanaan perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dilaksanakan segera membabitkan pelajar Tingkatan Enam Bawah.

Beliau berkata, antara perubahan tugas guru Tingkatan Enam adalah waktu mengajar 22 hingga 30 waktu seminggu membabitkan aktiviti akademik, kokurikulum, penyelidikan/konsultasi dan kolokium.

Turut disenaraikan tugas luar bilik darjah/ tanpa interaksi dengan pelajar sebanyak 15 waktu seminggu membabitkan aktiviti persediaan, penyelidikan, penilaian dan pentaksiran serta penggubalan item.

“Walaupun pelaksanaan sistem modular/semester menggantikan sistem terminal dijangka bermula 2011, beberapa langkah dan perubahan awal perlu dilaksanakan sebagai usaha penjenamaan semula Tingkatan Enam secara berperingkat.

“Kementerian menjangkakan lebih 700 sekolah menawarkan pengajian prauniversiti ini, sekurang-kurangnya sudah melantik guru berkaitan supaya perubahan tugas disenaraikan dalam Garis Panduan dan Tanggungjawab Guru Akademik Tingkatan Enam dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Beliau mengulas rungutan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati kerana ada segelintir sekolah masih belum memulakan proses transisi penjenamaan semula Tingkatan Enam antara lain membabitkan pertambahan waktu mengajar hingga ke petang bagi melaksanakan aktiviti tambahan seperti tutorial.

Zulkifly menjelaskan peningkatan waktu mengajar membabitkan waktu pengajaran dala kelas sebanyak 16 hingga 24 waktu seminggu, kokurikulum (dua waktu), penyelidikan/konsultasi (dua waktu) serta kolokium (dua waktu).

Bagi kokurikulum, katanya, guru bertanggungjawab menguruskan aktiviti persatuan/kelab, unit beruniform atau sukan/permainan, sementara penyelidikan/ konsultasi memerlukan guru membimbing pelajar membuat kajian dan penyelidikan serta mengakses maklumat secara elektronik dan bercetak. Menerusi kolokium pula, beliau berkata, guru berperanan memberi komen dan ulasan mengenai pembentangan hasil kajian dan penyelidikan pelajar. “Tidak dinafikan pertambahan aktiviti ini menuntut pengorbanan guru untuk bekerja lebih masa hingga ke petang.

Sunday, August 23, 2009

Pentafsiran Holistik Memberi Kesan Negatif bidang Seni Visual

Baru-baru ini seorang bekas pelajar saya dari Sarawak Sdr. Danial menalifon saya bertanyakan bahawa Pentafsiran (penilaian) Pendidikan Seni Visual (PSV) tidak menampakkan realiti sebenar dan dipandang remeh oleh guru bidang lain, kerana penilian PSV banyak kepada bentuk holistik tidak dalam bentuk analitik. Sebenarnya kedua-dua bentuk itu ada dalam pentafsiran PSV, namun dalam pentafsiran sebuah karya dan porfolio yang dihasilkan oleh pelajar kaedah 'authenktic' adalah kaedah yang paling sesuai sekali di mana pertimbangan penilaian adalah khusus kepada kemahiran dan aspek-aspek khusus hasil karya.

Sebenarnya untuk menilai sesebuah karya yang dihasilkan oleh calon atau pelajar. seorang pentafsir mestilah mempunyai kemahiran selok-belok dalam penghasilan karya, kalau seorang guru, guru itu perlu mempunyai pengalaman dan mahir dalam penghasilan karya itu. Selain dari itu adalah penting bagi pentafsir membuat kreteria pentafsiran dan mengemukakan kepada calon senarai kreteria yang perlu calon atau pelajar tahu untuk mendapat gred yang baik. Ambil contoh kreteria yang dibuat oleh sebuah badang pentafsiran antarabangsa 'Art and Design CGE A/AS Level' - Universiti of Cambridge International Examination ‘CIE’ 2008: Mereka membuat kreteria seperti berikut:

1. Personal Qualities (Kualiti Individu) (25%)

2. Manipulative, Artistic and Analytical skills (Manipulasi artistik & Kemahiran analitikal) (25%)

3. Aesthetic Qualitities (Kualiti estetik) (25%)

4. Knowledge and Critical Understanding (pengetahuan & Kefahaman Kritis)  (25%)


Kalau dilihat dari segi kreteria yang ditentukan itu tidak tertumpu kepada persoalan skil dalam pelukisan seperti Warna, komposisi, keaslian dan penggunaan asas seni reka seperti yang lazim kita buat. Kreteria yang dibuat oleh Universiti Cambridge lebih menyeluruh hinggakan kualiti individu juga akan dinilai.

Perbezaan dengan pentafsiran kita selama ini banyak tertumpu kepada bentuk seni itu sendiri. Meskipun kita boleh membuat pentasfiran umpama itu, tetapi ianya terperangkap kepada hasil produk semata-mata. Dalam penghasilan sebuah karya seni, banyak aspek yang perlu diambil perhatian, kerana penghasilan karya seni adalah suatu proses. Dari proses penentuan tema/tajuk, lakaran, karya akhir hinggalah kemasan. Proses ini perlu diambil kira dalam pentafsiran karya seni visual.

Thursday, August 20, 2009

Sukatan Baru Seni Visual STPM Lulus

Pada tanggal 20 Ogos 2009, Prof. Dr. Mustaffa Mohd Ghazali, selaku pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sukatan Baru Seni Visual STPM telah membentangkan sukatan baru itu dihadapan Majlis Lembaga Pengarah Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). lembaga Pengarah adalah terdiri dikalangan Timbalan Canselor universiti awam tempatan. Perbentangan itu diluluskan dan mendapat pujian dari kalangan lembaga pengarah.

Sukatan Pelajaran Baru STPM telah mula dibena sejak setahun yang lepas, beberapa siri mesyuarat telah diadakan untuk merangka satu format baru bagi kehendak perubahan baru persekolahan tingkatan enam. Mulai tahun 2012 Tingkatan 6 akan mengendalikan sesi persekolahan mengikut semester (seperti Universiti), oleh yang demikian sukatan berdasarkan modular dikehendaki oleh MPM bagi menyesuaikan sistem baru tingkatan 6.

Beberapa perkara yang menarik untuk disentuh tentang tingkatan 6. Kini tingkatan 6 dianggap pilihan ketiga bagi calon lepasan SPM, mereka akan membuat pilihan pertama ke Metrikulasi, Diploma dan Politeknik, tinggallah pelajar yang tidak dapat ke mana-mana yang akan menduduki tingkatan 6. Justru Kementerian Pelajaran dengan MPM merancang agar tingkatan 6 dapat dikekalkan seperti era zaman tujuh puluhan dan lapan puluhan, yang mana mempunyai kekuatan melahirkan calon yang berkualiti masuk ke Universiti. Antara perancangan tersebut ialah mengada sistem semester, Guru-guru tingkatan 6 dinaikkan taraf kepada nama pensyarah tingkatan 6 dengan dinaikkan pangkat kepada DG 44, DG48 dan DG52 dan pengasingan dari persekolahan biasa.

Menyentuh sukatan Seni Visual, saya masih teringat perjuangan saya dan rakan-rakan seperti En. Mat Desa dan beberapa kawan memperjuangkan melalui persatuan Pendidikan Seni Visual agar pelajaran seni visual diajar dalam kelas tingkatan 6 (sebelumnya hanya peperiksaan sahaja). Hasilnya tahun 2000 satu mesyuarat khas di MPM mengkaji dan membuat satu format untuk sukatan pelajaran seni visual (pada masa itu disebut seni lukis). Antara ahli mesyuarat yang dijemput ialah Dr. Mustafa Mohd Ghazali (UiTM), Dr. Abu Talib (UM), Dr. Najib Dewa (USM), En.Hassan Mohd Ghazali (UPSI), Tn. Syed (UiTM), En. Hassan Samin (LPM), En. Saleh Baba (PPK) dan En. Baba(MPIK). Berapa siri mesyuarat berlaku hinggalah mencetuskan nama sukatan kepada nama SENI VISUAL. Akhirnya ahli panel mesyuarat yang tinggal hanya empat orang sahaja iaitu Dr. Mustaffa Ghazali, Dr. Abu Talib, En.Hassan Ghazali dan En. Baba . Empat orang panel meneruskan mesyuarat hingga siap sukatan dan digunakan untuk STPM tahun 2002. Masih ingat lagi pada masa itu calon STPM yang mengambil Seni visual sekitar 400 orang. Kini menjangkau 8000 orang, dan mata pelajaran seni visual adalah mata pelajaran paling popular dikalangan pelajar STPM. Ketua Eksekutif MPM sendiri sentiasa menyatakan bahawa 'kalau nak tengok contoh sukatan pelajaran lihat bagaimana seni visual buat'. Format baru sukatan STPM pelajaran lain juga banyak mengambil contoh seni visual.

Saya mengucapkan tahniah kepada panel pengubal yang baru antaranya pengerusi Prof. Dr. Mustaffa Mohd Ghazali, Prof. Dr. Muliady, Prof Madya Dr. Abu Talib, Prof. Madya Dr. Roslan, En. Mat Desa, Hassan Mohd Ghazali, En. Isa (JPN Johor), Cikgu Harun Mokhtar, Ciku Putit dan Cikgu Normah. penyelaras MPM En. Edy yang tak jemu-jemu dan sentiasa setia dengan karenah panel saya juga ucapkan tahniah. Semoga dengan format baru sukatan seni visual ini akan meningkatkan prestasi seni visual dan menambah minat pelajar STPM yang akan mengambil Seni Visual.

Tuesday, August 18, 2009

Bali 2: Catan Bali





















Seperti saya katakan pada siri Bali 1, Pulau Bali penuh dengan kesenian. Budaya hidup mesyarakat bali diterjemahkan dalam budaya kesenian, samada cara hidup, berpakaian, penginapan dan aktiviti harian. Sepanjang kembara yang dibawa oleh Dr. Suhaimi, saya tertarik dengan gaya dan identiti catan Bali. Sungguhpun gaya abstraks telah melanda golongan pelukis muda diBali, namun gaya pelukisan tradisionalnya masih kekal dan mempunyai identiti tersendiri. Pengunaan garisan yang halus dan teliti memberi kesan pada penonjolan imej. Konsep catan bali masih mengekalkan gaya pelukisan tradisional iaitu non-perspektif dan menonjolkan imej naratif. . Unsur ini sebenarnya adalah gaya pelukisan pelukis kono di tembok kuil, piramit dan gereja. Pada masa itu pelukis melukis untuk merakamkan peristiwa dan sebagai pengabdian kepada keagamaan.
Karya-karya tradisional Bali masih mengekalkan konsep makna dan konteks yang berhubung dengan budaya. Gaya pelukisan masih mengekalkan kepadatan ruang dan pewarna yang sederhana. Banyak karya-karya catan Bali mempunyai unsur naratif kepada keagamaan Hindu-Budha.
Kembara saya di Bali sempat melihat beberapa geleri terkenal di Ubud. Wilayah Ubud memang terkenal dengan geleri-geleri besar yang mempamerkan karya-karya pelukis ternama di Bali...... 

Thursday, August 13, 2009

Siri 1: Bali Bumi Kesenian






Pada tanggal 5 Ogos saya bersama rakan Dr. Johari menziarahi sahabat kami Dr. Suhaimi yang membuat kajian sabatikal di sana. Kunjungan kami dilayani dengan begitu baik dan mesra oleh Dr. Suhaimi, baru dua bulan tidak ketemu seolah-olah bertahun-tahun... Sebenarnya saya dengan Dr. Suhaimi memang rapat, mula bertugas di Tg. Malim, Perak pada tahun 1992 di rumah Dr. Suhami lah tempat penginapan saya. 

Menjejaki Bumi Bali....
Ini lah pertama kali saya menjejaki bumi bali... sampai sahaja di lapangan terbang Denpasar saya melihat reka bentuk dan susun aturnya penuh dengan kesenian. Apatah lagi apabila sampai sahaja rumah sahabat saya dr. Suhaimi, nah... seni bena rumah bali yang begitu mesra dengan alam. Tertarik saya dengan reka bentuk yang menyelenggarakan ruang lanskap pada dalaman ruang rumah. Rumahnya nyaman kerana peredaran udara dikendalikan dengan baik melalui ruang dalaman rumah.
Sepanjang panjang lawatan ditempat-tempat menarik di Bali, saya dapat merakamkan banyak rakaman kesenian, seolah-olah yang sedang ditunjukkan oleh Dr. Suhaimi 'Jejak-jejak Seni'. Antara yang menarik ialah budaya orang Bali yang masih mengekalkan budaya tradisi hindu budha; budaya mereka masih mengekalkan suasana alam kerena mereka sangat berhubung dengan alam, kebersihan, wangi (wangi bunga), kesopanan dan kelembutan dan kuat dengan adat dan keagamaan. 
Dibumi Bali penuh dengan tempat-tempat menarik... ( saya sering terlupa nama tempat ). Dalam benak hati saya merasa kekaguman ciptaan Allah dengan keindahan yang dikurniakan pada bumi Bali. 
bersambung......

Monday, June 29, 2009

Visual Mistri




Saya dijemput untuk menghadiri bengkel cat air anjuran JPN negeri Perak di Pasir Salak. Terlibat adalah kalangan guru-guru yang terpilih dengan kebolehan menghasilan catan cat air.
Selama tiga hari dua malam di sana, bermula pada 22 Jun hingga 24 Jun 2008.  Terut sama dijemput ialah Prof Dr. Zakaria Ali, Datok Mansor dan Petrik. Kami melukis dan mengambil foto di perkampungan tradisional Pasir Salak. Pasir Salak memang sudah sedia maklum adalah sebuah penempatan orang Melayu yang terkenal dengan pembunuhan JWW birch oleh Datok Sago.
Beberapa kawan dikalangan guru-guru yang mengambil gambar dari kamera digital membuat editing dalam komputer, dan didapati beberapa gambar terdapat wajah makluk asing yang tidak diundang.... Ini lah pertama kali saya melihat sendiri peristiwa ganjil yang berlaku. sebelum ini saya melihat dalam laman web, namun hati kecil saya masih tidak berkayakinan, kerana teknologi komputer grafik boleh buat apa saja. Bersama ini saya tunjukkan beberapa foto yang diambil terdapatnya visual mistri......

Wednesday, June 17, 2009

PRAKTIKUM -LATIHAN MENGAJAR

Bagi yang telah menjadi pelajar di Universiti atau di IPG dalam bidang pengajian pendidikan tidak boleh tidak akan terlibat secara langsung untuk menjalani latihan mengajar atau di UPSI dikenali sebagai 'Praktikum'. Saya sebagai penyelaras praktikum di Fakulti rasa bertanggungjawab memastikan pelatih yang menjalani praktikum berjalan dengan baik. Isu-isu yang teerlibat dalam praktikum ialah penempatan (sekolah) dan penyelia (pensyarah dan guru pembimbing). Namun, paling penting sekali ialah pelatih yang menjalani praktikum akan mengalami beberapa persoalan antaranya: 

1. Kesediaan guru pelatih dari segi fizikal dan mental untuk menjadi guru di sekolah
2. Kebolehan penyampaian ilmu yang dipelajari sepanjang belajar di Universiti atau IPG
3. Kesediaan menerima budaya sekolah yang akan ditempuhi
4. Boleh mempelajari perkara baru dalam kerjaya seorang guru
5. Keterampilan sebagai guru - disiplin dan budaya guru.

Saya sebagai pengajar akan menumpukan perhatian kepada kebolehan pelatih dari aspek persediaan pengajaran yang berlaku dalam bilik darjah (kalau guru seni dalam studio PSV).
Tiga perkara elemen asas perlu dibuat sebelum menjalani pengajaran:
1. Perancangan pengajaran
2. Perancangan penyampaian
3. Perancangan penilaian.

Perancangan Pengajaran melibatkan perancangan apa yang hendak dilakukan semasa pengajaran, termasuklah Objektif, Langkah-langkah dan strategi. Melibatkan kurikulum PSV, Huraian Kurikulum dan Rancangan tahunan yang telah disediakan diperingkat JPN.

Perangan Penyampaian melibatkan kaedah penyampaian, penentuan strategi P & P, Penentuan Masa, Pemeringkatan Isi kandungan, Pemilihan Sumber dan Pengelolaan Bilik PSV.

Penilaian melibat pengelolaan penilaian semasa pengajaran seperi soal jawab guru murid, kuiz atau penilaian beertulis.

bersambung.... (anda yang baca sila membuat komen dan cadangan)

Sunday, June 14, 2009

Portfolio Pendidikan Seni Visual tingkatan 1 - 5

PORTFOLIO PENDIDIKAN SENI VISUAL

Pengenalan

Dalam Pendidikan Seni Visual, penyimpanan atau dokumentasi bahan bukti proses pembelajaran pelajar adalah digalakkan. Bahan bukti ini mengandungi pengetahuan, kemahiran dan pemikiran serta penyataan perasaan pelajar. Bahan ini dikumpulkan dan dipersembahkan secara terancang.

Rakaman Proses Pembelajaran

Rakaman proses pembelajaran ini merangkumi beberapa kecerdasan dan ia dikaitkan dengan alat penilaian benar. Melalui portfolio Pendidikan Seni Visual, semua pihak dapat melihat:

·      Himpunan rakaman urutan proses hasilan kerja pelajar

·      Contoh hasil kerja pelajar

·      Penyataan perasaan pelajar semasa proses pembelajaran Pendidikan Seni Visual berlaku

·      Hasil penulisan, ilustrasi atau gambar yang menjadi sebahagian peristiwa penting untuk dikongsi bersama pihak lain

·      Petunjuk keupayaan dan refleksi pelajar tentang proses kerja serta hasil kerja seni

 Dari segi konsep, portfolio Pendidikan Seni Visual berasaskan kepada kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, yang turut melibatkan proses penyelesaian masalah dan membuat keputusan. lni disebabkan    portfolio  Pendidikan    Seni   Visual,    selain mendokumenkan urutan proses kerja, turut menuntut kemahiran mencetuskan idea secara kritis untuk melakukan penggubahan secara kreatif, sama ada melalui alat, bahan atau teknik tertentu. Pelajar patut dapat merancang proses kerja dengan memastikan  masalah yang akan ditempuh sebelum dan sepanjang melakukan kerja dan berupaya pula menentukan keputusan muktamad dalam membuat pilihan bagi mendapat hasil kerja yang terbaik. Proses ini dirakamkan dalam portfolio supaya ia menjadi bahan bukti untuk tatapan dan mampu juga menjadi salah satu alat penilaian benar dalam proses pembelajaran pelajar.

Bentuk Portfolio

Portfolio Pendidikan Seni Visual lebih merupakan portfolio dokumentasi proses sepanjang kerja seni dilakukan dan bukan sekadar portfolio persembahan. Justeru, bentuk portfolio menampakkan kajian, perancangan, eksperimen dan penentuan berhubung dengan hasil yang hendak dibuat. Secara umumnya bentuk portfolio yang dicadangkan mengandungi 4 aspek:

I .     Kajian

  • Pemerhatian dan pengamatan
  • Koleksi bahan serta rekod daripada bahan rujukan yang sesuai dengan kegiatan
  • Rumusan dan pertimbangan dalam membuat pemilihan

2. Lakaran

  • Eksperimentasi melalui lakaran dan lukisan sebelum mendapat idea yang konstruktif Pewujudan idea
  • Perkembangan lakaran berkaitan tema atau tajuk

3. Rangka Sebenar

  • Merangka reka cadang atau model
  • Menentukan alatan dan bahan
  • Prototaip (jika berkaitan)

4. Persembahan Portfolio

  • Ringkas, menjimatkan, menarik dan tepat

·      Mengikut urutan

·      Bersih, kemas dan mudah digunakan

Keempat-empat aspek yang meliputi kajian, lakaran, rangka sebenar dan persembahan boleh dihasilkan melalui sebarang bentuk, bergantung kepada keupayaan dan kemampuan fizikal pelajar, sekolah dan kemudahan yang ada. Kemungkinan besar pelajar akan menyediakan portfolio dalam bentuk seperti:

·      Jurnal  

·      Diari

·      Laporan

·      Kompilasi catatan yang dijilid

·      Beberapa helaian kertas yang di kokot

·      Ataupun mungkin disket/cakera padat

Terdapat beberapa kegunaan portfolio secara umum. Antaranya:

·      Untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada hasil kerja dan pencapaian pelajar

·      Untuk membantu pelajar membuat refleksi terhadap hasil keria sendiri

·      Untuk membantu ibu bapa, pentadbir dan guru lain mengetahui

·      kemajuan pembelajaran pelajar

·      Memberi peluang kepada pelajar bersama mengusahakan hasil kerja sendiri

·      Menentukan kriteria bagi membandingkan hasil kerja seorang pelajar dengan pelajar lain atau dengan piawai tertentu

Cadangan Kandungan Portfolio

Kandungan portfolio seboleh mungkin dapat merakamkan beberapa kecerdasan, antaranya:

Kecerdasan linguistik seperti:

·      Catatan pra penulisan

·      Draf projek penulisan

·      Huraian bertulis tentang tajuk /tema/kajian

·      Proses Penyelesaian masalah

Kecerdasan ruang-visual seperti:

·      Lakaran, catan, cetakan, kolaj, montaj, gambar rajah, peta minda, carta aliran

·      Sampel gambar 2 dimensi dan 3 dimensi

Kecerdasan interpersonal seperti:

·      Maklum balas bertulis daripada rakan sebaya, guru dan pihak lain

·      Laporan rakan sebaya

Kecerdasan interpersonal seperti:

·      Catatan jurnal

·      Esei, senarai semak, kegiatan penilaian kendiri

·      Sampel latihan refleksi kendiri

·      Soal selidik

·      Carta kemajuan

                Catatan refleksi tentang hasil kerja sendiri 

Wednesday, June 10, 2009

Penghasilan Seni Visual STPM

Pengenalan

 

Kertas 970/3 adalah merupakan kertas penghasilan karya untuk calon sekolah yang mengambil mata pelajaran Seni Visual di peringkat STPM. Kertas ini menguji kemahiran calon untuk menghasilkan sebuah karya seni visual dalam bentuk pengkaryaan dan perekaan. Melalui bimbingan guru seni visual, calon akan melaksanakan projek berdasarkan pemilihan soalan yang telah dihantar oleh MPM pada awal Januari. Sepanjang lapan bulan (Februari hingga September)calon yang dibimbing oleh guru seni visual membuat projek yang dipilih berdasarkan soalan dari MPM. Aspek penting yang diberi penekanan ialah aspek penerokan idea, penghasilan karya @ produk dan pendokumentasian projek.

 

Oleh yang demikian pemilihan soalan oleh calon dalam kertas ini perlu dibincang bersama dengan guru pembimbing agar kepakaran guru pembimbing dapat membantu ke arah penghasilan yang baik. Kertas ini akan dinilai secara pendekatan pengujian authentic. Justru itu hasil kerja portfolio dan hasil karya perlulah memenuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. Beberapa perkara asas perlu dihalusi oleh guru pembimbing sebelum memulakan penghasilan projek penghasilan karya antaranya:

 

  1. Arahan Kertas Soalan
  2. Tanggungjawab Guru Seni Visual
  3. Tanggungjawab Pengetua
  4. Penghantaran Portfolio dan Hasil Karya
  5. Arahan Penyedian Projek Penghasilan Karya.

 

Prosedur penghasilan

Secara umum kertas ini adalah dibuat secara amali di sekolah, oleh itu keakraban antara calon (pelajar) dan guru seni visual (Pembimbing) adalah perkara yang sangat penting. Bagi calon, mereka sangat mengharapkan guru pembimbing membantu mereka dari aspek teori dan amali pengajaran seni visual.

Sebenarnya kertas penghasilan karya seni visual STPM memerlukan pelajar atau calon berpengetahuan dan berkemahiran dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif. Tanpa ketiga-tiga domin ini, portfolio dan penghasilan tidak dapat dilakukan dengan baik.

Sebagai contoh, soalan Nombor 1 (Pengkaryaan). Soalan tersebut berkehendakkan calon menghasilkan karya bertemakan ‘Gelombang’.  Aspek kognitif: calon perlu mencari sumber maklumat mengenai gelombang, samada melalui pembacaan, pencarian maklumat dari internet, perbincangan dan sebagainya. Aspek teori dari segi makna dan nilai kreatif juga perlu dititik beratkan melalui kajian maklumat dan kajian visual. Aspek Psikomotor (kemahiran): calon perlu mahir tatacara melukis dan membentuk (Ketukangan) dengan menggunakan media dan teknik bagi menghasilkan sebuah karya 2D yang bertemakan ‘Gelombang’ tersebut. Aspek Afektif (Nilai); colon perlu menyiapkan portfolio dan hasil karya dengan kemas dan kreatif. Persoalannya, aspek pembelajaran seni visual adalah pokok utama yang perlu ditegaskan sebelum memikirkan aspek-aspek yang lain.

 

Pengetahuan aspek organisasi penghasilan

Kelaziman berlaku apabila calon menghasilkan karya seni visual akan memikirkan bagimana cara penghasilan?, apakah bahan yang hendak digunakan?, dan apakah cara teknik dibuat?. Antara lain yang menjadi persoalan awal ialah:

  1. Memecahkan persoalan tema dan kehendak soalan,
  2. Olahan  idea dan pengolahan karya,
  3. Penentuan bahan dan teknik,
  4. Kemasan dan Persembahan.

Sebenarnya, penghasilan sebuah karya seni visual memerlukan banyak aspek lain yang memerlukan perbincangan antara calon dan guru pembimbing. Antara lain ialah mengetahui faktor tersirat karya dan faktor tersurat karya seni visual sebagai cantuman kekuatan berkarya. Antara perkara inplisit dan ekplisit yang perlu diketahui dalam penghasilan sebuah karya ialah:

Faktor tersirat:

i.                Nilai estetik (merangkumi niali kreativiti)

ii.               Nilai makna

iii.              Nilai konteks

iv.             Nilai emosi

v.              Pengaruh

Faktor tersurat:

i.                Media dan teknik

ii.               Kemahiran penghasilan

iii.              Fungsi

iv.             Kemasan

v.              Peragaan dan persembahan

 

Langkah-langkah penghasilan

  1. Penghasilan pengkaryaan

Proses penghasilan karya akan bermula dengan suatu tema atau tajuk. Bermula dari permasalah tema maka calon akan bekerja mencari idea bagi merealisasikan sebuah karya. Pada peringkat awal  proses mengumpul maklumat dan visualisasi adalah langkah kearah mendapatkan idea sebenar. Disamping itu pemetaan konsep yang kreatif sangat penting dalam proses visualisasi. Paling penting adalah penentuan media dan teknik untuk disesuaikan dengan gubahan. Proses gubahan karya pula perlu menggambil kira elemen-eleman bahasa seni visual. Di bawah ini adalah rajah proses penghasilan pengkaryaan.

 

  1. Penghasilan Perekaan

Pelbagai cara yang sesuai untuk menghasilkan sesuatu karya perekaan. Dalam perekaan kemahiran penghasilan adalah berbeza mengikut bidang. Bidang Grafik dan multimedia berbeza cara penghasilan dengan bindang reka bentuk. Perbezaan penghasilan reka bentuk industri pula berbeza dengan reka bentuk persekitaran. Oleh yang demikian guru seni visual sebagai pembimbing perlu penguasai kemahiran bidang-bidang tertentu untuk mastikan cara bimbingan kepada colon akan berlaku dengan betul. Di sini ditunjukkan beberapa cara produksi pengurusan yang bersistematik untuk mendapatkan produk akhir yang baik. Sebagai contoh ditunjukkan bagimana sebuah firma ‘Flo Design Consultancy’ (Laura Slack, 2006) mengorganisasikan penghasilkan produknya. Langkah-langkah penghasilan produknya adalah sebagai satu cara langkah-langkap proses perekaan yang bersistematik. 

 

Namun demikian secara umumnya proses penghasilan perekaan lebih tertumpu kepada permasalahan sosial dan pengguna. Bertolak dari situ pereka akan membuat penyelidikan dan mencari maklumat untuk menyelesaikan melalui reka bentuk yang boleh diterima oleh masyarakat atau pengguna. Contoh di atas dapat sedikit sebanyak membantu proses penghasilan perekaan sebagai menjawab soalan penghasilan perekaan. Cara umumnya  proses reka bentuk reka bentuk  industri atau reka bentuk automobil adalah melalui proses seperti rajah 3.  

Dalam bidang reka bentuk grafik, proses penghasilan berbeza sedikit dari reka bentuk industri dan reka bentuk persekitaran. Antara elemen penting dalam proses reka bentuk grafik ialah lakaran kenik (Thumbnils) dan Lukisan Komprehensif sebagai kerja terakhir sebelum proses percetakan. Aspek kebersihan, kehalusan kerja dan persembahan yang kreatif sangat dititikberatkan dalam karya komprehensif. Media dan teknik pelukisan dalam grafik memerlukan kemahiran khusus, dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa proses akhir kerja grafik memerlukan penggunaan perisian grafik komputer seperti grafik vektor dan grafik bitmap.

 Penutup

 

 Kertas 970/3 merupakan kertas amali untuk calon persekolahan yang diberi penekanan dalam proses penghasilan karya sepanjang lapan bulan. Guru pembimbing Seni Visual memainkan peranan penting sebagai pembimbing dan penilai utama. Aspek teori dan amali perlu diberi penekanan sepanjang proses dalam penghasilan. Portfolio adalah merupakan dokomentasi penghasilan karya dan sebagai bahan bukti proses teori dan amali berjalan dengan baik.